mutakhir

Jambatan Palekbang ke Kota Bharu bakal dibina [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Peruntukan bagi pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu, di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang turut tersenarai dalam Belanjawan 2021 mengujakan orang ramai.

Disifatkan sebagai kemudahan yang sangat diperlukan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya, jambatan yang akan dibina di Palekbang yang menghubungkan penduduk ke Kampung Penambang, Kota Bharu itu diharap dapat disiapkan secepat mungkin.

Penduduk Kampung Palekbang, Mohd Rosdi Che Zakaria, 54, berkata, sudah sekian lama rakyat terutama penduduk sekitar menantikan pembinaan jambatan itu menjadi realiti sejak peletakan batu asasnya pada 1996.

"Ketika itu, lokasi asalnya adalah di sini iaitu menghubungkan Kampung Cina, Kota Bharu tapi saya difahamkan, lokasinya berpindah ke Kampung Sungai Nyior kira-kira 100 meter sahaja daripada batu asas.

"Saya mengalu-alukan pembinaannya kerana selain membawa kemajuan sekitar, ia juga memudahkan kami untuk ke bandar Kota Bharu dengan menggunakan laluan lebih dekat," katanya ditemui di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan dengan peruntukan RM780 juta termasuk pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu.

Projek menelan kos kira-kira RM250 juta itu akan dibina dengan jarak satu kilometer bermula dari Palekbang, Tumpat merentasi Sungai Kelantan hingga ke Penambang, Kota Bharu.

Pembinaannya dijangka dapat menyuraikan masalah trafik antara Tumpat dan Kota Bharu yang kini berlarutan akibat penggunaan satu laluan saja iaitu Jambatan Sultan Yahya Petra.

Bagi Norma Mohd Daud, 56, dia berterima kasih kepada kerajaan prihatin dengan keperluan rakyat.

"Saya harap pembinaan jambatan ini dapat dipercepatkan selain siap lebih awal berbanding jangkaannya iaitu Disember 2023," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:14pm
d