Glasgow: Penyanyi kumpulan Rewind James McElvar menyangka dia lebih pintar apabila mengambil keputusan menyarung semua pakaiannya bagi mengelak membayar elaun bagasi ketika terbang menaiki pesawat tambang murah Easyjet bersama kugiran berkenaan.

Malangnya, penyanyi berusia 19 tahun itu pengsan ketika dalam penerbangan, dipercayai kerana kepanasan.

“Saya menyangka saya diserang sakit jantung,” katanya kepada media.

Menurut laporan BBC, petugas perubatan memberitahu pemuzik itu, dia bernasib baik kerana berjaya diselamatkan.

Tidak dapat dipastikan sama ada baju yang dipakainya menjadi punca kepada masalah itu.

Dia dan kumpulannya dalam penerbangan dari Stansted, Essex untuk pulang ke Glasgow.

McElvar mengambil keputusan drastik selepas bertengkar dengan kakitangan mengenai dua begnya.

Dia dikehendaki membayar £45 (RM264) untuk menaiki pesawat itu atau meninggalkan satu beg atau memakai semua pakainnya.

Penyanyi itu memilih pilihan ketika. Selain pakaian biasanya, penyanyi itu turut menyarung enam kemeja-T, lima baju panas, tiga pasang jean, dua seluar pendek, dua jaket dan dua topi.

Penyanyi itu memberitahu media tempatan, dia menanggalkan pakaian berlebihan itu sebaik memasuki pesawat.

Kelmarin, akaun Twitter kumpulan itu mengesahkan McElvar dirawat di sebuah hospital di Glasgow. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:08 AM