mutakhir

Hidup dengan RM41 sebulan

Oleh Mahaizura Abd Malik

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa pencarum mungkin perlu menjalani kehidupan persaraan dengan pendapatan kurang RM41 sebulan sepanjang tempoh 20 tahun jika simpanan mereka tidak bertambah selepas pengeluaran dari Akaun 1 dibuat.

Ini kerana, berdasarkan perangkaan KWSP, seramai 43 peratus atau 5.38 juta ahli berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, perangkaan yang diperoleh juga menunjukkan 54 peratus atau 137,000 daripada 245,000 ahlinya berumur 54 tahun pada 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan bakal menjalani kehidupan persaraan dengan pendapatan hanya RM200 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

"Jumlah RM200 itu adalah sangat jauh daripada paras kemiskinan negara iaitu RM2,208 untuk satu isi rumah dan juga RM2,450 untuk perbelanjaan asas seorang warga emas seperti yang dinyatakan dalam kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC)," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, gaji asas yang rendah menjadi punca kepada sesetengah pencarum mempunyai jumlah simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

"Jumlah simpanan Akaun 1 yang rendah itu adalah berikutan caruman yang dibuat berasaskan gaji minimum yang sangat rendah, beberapa tahun dulu.

"Sebelum ini ramai pencarum yang memiliki gaji asas rendah di mana selebihnya adalah dalam bentuk elaun.

"Namun, keadaan itu kini sudah bertambah baik susulan penetapan gaji minimum yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Cuba anda bayangkan, beberapa tahun dulu, purata gaji asas sekitar RM500 sebulan. Dengan caruman berkanun syer pekerja sebanyak 11 peratus, ini bermakna caruman bulanan berjumlah RM55 sebulan, yang mana ia sangat rendah," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban kewangan ahli yang terjejas.

Terdapat juga cadangan yang mahukan pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 KWSP secara 'one-off', namun setakat ini belum mendapat sebarang persetujuan.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 6:08pm
d