Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis menahan lapan individu dan membongkar makmal memproses dadah Eramin 5 di Pandan Indah, Ampang, hari ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu turut merampas 137 kilogram dadah.

"Syabas STING @PDRMsia baru saja tangkap lapan orang dan bongkar makmal proses dadah Eramin 5 di Pandan Indah, Ampang. Rampas 137 kilogram dadah. Go PDRM Go," katanya.

Sebelum ini, pada 26 Jun lalu STING berjaya menahan seorang lelaki warga Venezuela yang baru tiba dari Doha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merampas 2.83 kilogram kokain.

Dalam serbuan serentak hari yang sama, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bersama 120 kilogram syabu di Mutiara Complex, Jalan Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 10:57 PM