KANAK-KANAK teruja menerima hadiah baju raya yang disampaikan Datin Seri Diraja Sharifah Azura Said Hamoza.
KANAK-KANAK teruja menerima hadiah baju raya yang disampaikan Datin Seri Diraja Sharifah Azura Said Hamoza.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Bagi umat Islam, berpuasa dan berbuka di sepanjang Ramadan bukanlah sekadar memenuhi tuntutan agama, namun ia juga menjadi aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan yang penuh bermakna. Ahli keluarga mahupun masyarakat berpeluang untuk iftar bersama dan solat berjemaah. Ia sebagai lambang signifikan ibadat puasa sambil bersama menanti tibanya hari raya.

Namun bagi 35 kanak-kanak dari Rumah Amal Raudhatul Jannah, ia adalah persekitaran yang jarang dirasai memandangkan ada di antara mereka anak yatim, ditinggalkan keluarga mahupun datang daripada keluarga tidak berkemampuan.

Terpancar senyuman pada wajah kanak-kanak berusia empat sehingga 17 tahun itu apabila dibawa ke Hotel Concorde Shah Alam untuk berbuka puasa bersama-sama.

Dalam usaha menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik dan ahli masyarakat kurang berkemampuan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Cariessa Goh, kemeriahan Ramadan ada kala dirasakan begitu hambar dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan khususnya yang menghadapi kekangan kewangan termasuk anak yatim. Melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna.

“Saya berbesar hati kerana tahun ini adalah tahun ke-12 majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Kami mempunyai peranan yang besar untuk membantu masyarakat dan berharap inisiatif ini dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan semangat mereka berhari raya,” kata Cariessa.

Menurut pengurus Rumah Amal Raudhatul Jannah Zainab Othman, program anjuran F&N Beverages ini sangat berkesan bagi mendekati kanak-kanak dan menyediakan suasana yang ceria.

“Kami berharap hubungan ini akan berpanjangan. Memandangkan Aidilfitri hampir tiba, besar harapan kami untuk memberikan yang terbaik untuk mereka agar turut menikmati perayaan ini dengan penuh ceria,” katanya.

Selain hidangan enak mereka ini turut diberikan kejutan istimewa apabila menerima beg hadiah berisi pakaian lengkap dengan songkok dan selendang serta duit raya yang diberikan oleh Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd Tengku Syed Badarudin Jamalullail. Terpancar keriangan pada wajah mulus itu tatkala barangan bertukar tangan.

Bagi Muhammad Azrul Afiq Azri, 14, dia amat berbesar hati apabila berpeluang berbuka puasa bersama F&N Beverages.

“Saya mahu gunakan duit raya ini untuk bantu perbelanjaan ibu bapa di rumah. Sumbangan ini sangat bermakna bagi kami. Pemberian sepasang baju raya baru akan membawa kegembiraan untuk menyambut hari raya tahun ini,” kata Azrul yang tinggal di rumah itu bersama abangnya memandangkan keluarganya tidak berkemampuan menyara mereka.

Bagi Nur Az Mizah, 17, majlis berkenaan menambahkan lagi keceriaan me­nyambut Syawal. Walaupun ketiadaan keluarga di sisi, sambutan ini membuka mata untuk melihat harapan yang lebih cerah dengan sokongan masyarakat, sebagaimana ditunjukkan F&N Beverages.

Rumah Amal Raudhatul Jannah menempatkan 21 kanak-kanak lelaki dan 14 kanak-kanak perempuan daripada golongan yatim, ditinggalkan keluarga atau datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan. Terletak di Olak Lempit, Banting rumah ini ditubuhkan untuk menyediakan tempat tinggal, memberi penjagaan, ilmu keagamaan dan pendidikan bagi anak-anak di bawah naungannya.

Sebagai organisasi yang masih baru, rumah kebajikan ini memerlukan sumbangan orang awam dan bantuan bagi menyediakan keperluan asas penghuninya dan membiayai kos harian seperti bekalan makanan, utiliti, kos pengangkutan harian dan penyelenggaraan. Maklumat lanjut berkenaan rumah ini boleh diperoleh di laman www.facebook.com/rumahamal.raudhatuljannah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:03 AM
Digital NSTP Subscribe