Abu Dhabi: Seorang wanita yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti pengganas dan membunuh seorang guru tadika warga Amerika Syarikat (AS) pada Disember tahun lalu, menjalani hukuman mati awal semalam, lapor agensi berita WAM.

Ala’a Badr Abdullah al-Hashemi, 31, dijatuhi hukum mati oleh sebuah mahkamah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kerana menikam guru AS kelahiran Romania, Ibolya Ryan di tandas sebuah pasar raya di sini.

Wanita itu juga didapati bersalah cuba mengebom seorang doktor AS kelahiran Mesir.

Ala’a juga disabitkan kesalahan membuka akaun media sosial bagi menyebar ideologi militan dengan niat untuk melemahkan kerajaan dan menyalurkan wang kepada organisasi militan untuk melakukan serangan.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut bagaimana hukuman mati terhadap Ala’a dijalankan.

Polis percaya, Ala’a yang terpengaruh dengan kumpulan radikal melalui Internet tidak menyasarkan warga AS secara khusus tetapi turut menyasarkan warga asing untuk dibunuh secara rambang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:05 AM