SAN Remo Elbow Kuah Lode untuk buka selera.
SAN Remo Elbow Kuah Lode untuk buka selera.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Menjelang hari lebaran yang akan tiba tidak lama lagi, jenama pasta terkenal San Remo memberi nafas baru kepada sajian pasta tradisional dengan sentuhan rempah tempatan untuk menambat selera rakyat Malaysia, khusus­nya umat Islam.

Bersama pakar masakan tempatan terkenal, Chef Collin Lim, San Remo mengadakan sesi demo memasak untuk menunjukkan pelbagai kegunaan pasta.

Chef Collin menambah sentuhan interpretasinya sendiri kepada sajian masakan pasta diperkaya dengan perisa Malaysia dan bahan tempatan, bukan saja sesuai untuk berbuka puasa, bersahur dan rumah terbuka hari raya, tetapi juga sajian setiap hari yang lazat dan berkhasiat.

Untuk musim perayaan akan datang, Chef Collin mempersembahkan tiga sajian pasta tempatan yang lazat dan sihat. Peminat sate pasti akan jatuh hati dengan San Remo Small Shell in Kuah Kacang Daging manakala penggemar lontong dapat menghilangkan kerinduan mereka dengan San Remo Elbow Kuah Lodeh. San Remo Angel Hair Kuah Kari pula pasti diminati bukan disebabkan kelazatan rasanya, tetapi juga kerana mudah untuk menyediakannya. Sajian ini amat sesuai untuk waktu sahur.

Chef Collin menunjukkan betapa mudahnya memasak menggunakan pasta yang berlainan jenis. Untuk memberikan cita rasa Malaysia sepenuhnya, beliau memadankan setiap pasta dengan adunan bahan segar, herba dan rempah, termasuk cili merah, halia, kunyit, serai dan bawang besar untuk melazatkan rasa dan membangkitkan aromanya. Kesemua sajian ini boleh disediakan sendiri di rumah.

Mohan Alagappar, Pengurus Besar GBA Corporation Sdn Bhd berkata, San Remo terkenal sebagai jenama pasta kering yang dipercayai kerana kelazatan dan kualiti produknya.

“Rakyat Malaysia bernasib baik kerana sebagai negara berbilang budaya, kita dapat menikmati pelbagai sajian masakan yang berlainan, khususnya pada musim perayaan.

“Untuk musim perayaan akan datang, San Remo teruja membawakan sentuhan baru kepada pasta dengan menggabungkan cita rasa hari raya yang pasti digemari sesiapa saja,” katanya.

Selepas sesi tunjuk cara oleh Chef Collin, satu pertandingan memasak diadakan untuk wakil media bagi membolehkan mereka mencuba kebolehan menyediakan sajian masakan pasta sendiri.

Mereka dibahagi kepada enam kumpulan, dengan setiap kumpulan diminta menyediakan satu sajian masakan menggunakan bahan yang disediakan.

Mengenepikan bakat kewartawanan masing-masing, peserta berbincang mengenai sajian yang disediakan sebelum menguji kemahiran memasak dengan sedikit bantuan dan tunjuk ajar daripada Chef Collin. Mereka berjaya menyediakan pelbagai sajian yang lazat, dengan kumpulan terbaik menerima hadiah hamper yang menarik daripada San Remo.

Selain hamper San Remo, lapan pemenang cabutan nombor bertuah menerima periuk memasak pasta yang diimport dari Australia, untuk membolehkan mereka mencuba resipi yang baru dipelajari di rumah.

Chef Collin berkata, rakyat Malaysia kreatif dalam soal menyediakan sajian masakan tradisional kerana terdedah kepada pelbagai cita rasa dan perisa yang berlainan. Dengan San Remo, anda bukan saja mendapat kebaikan pasta dalam sajian lazat yang diberi sentuhan Malaysia, tetapi juga merasa kenyang lebih lama kerana pasta membantu anda tidak rasa lapar hingga waktu makan seterusnya.

Diasaskan oleh Luigi Crotti pada 1936, San Remo adalah pengeluar pasta kering yang terbesar di Australia. Rangkaian pelbagai produk dan 19 jenis pasta kering yang berkhasiat menjadikan ia jenama terkenal dalam kategori pasta untuk jaminan kualiti dan rasa yang terbaik.

Diperbuat daripada gandum durum 100 peratus, ia disahkan halal, tanpa GMO, pewarna tiruan dan pengawet. Untuk maklumat lanjut sila ke laman www.sanremo.com.au.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:01 AM