Beijing: China menggesa Filipina menghentikan usahanya menyelesaikan pertelingkahan wilayah di Laut China Selatan melalui tribunal antarabangsa sebaliknya mahu Manila membuat rundingan secara terus, rentetan permintaan panel timbang tara itu untuk mendapat maklumat dari China.

Filipina memohon supaya tribunal di The Hague, Belanda itu mengisytiharkan tuntutan China terhadap hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai tidak sah dan menuduh perbuatan Beijing melanggar hak negara-negara lain.

China bagaimanapun enggan bekerjasama kerana mendakwa tribunal itu - yang beroperasi di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - tiada bidang kuasa.

Tribunal itu mengadakan prosiding selama seminggu yang berakhir kelmarin untuk membincangkan dakwaan China dan memberi masa sehingga 17 Ogos depan untuk Beijing mengulas perbicaraan berkenaan sebelum keputusan dibuat pada hujung tahun ini.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying semalam menegaskan pendirian China terhadap timbang tara berkenaan.

“China tidak akan menerima cubaan satu pihak untuk mendapatkan penyelesaian daripada pihak ketiga dalam menyelesaikan pertikaian ini.

“China menggesa Filipina kembali kepada landasan sepatutnya dalam menyelesaikan pertikaian iaitu rundingan dan perbincangan,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:04 AM