AWAL dan Scha teruja rai lebaran bersama cahaya mata sulung.
AWAL dan Scha teruja rai lebaran bersama cahaya mata sulung.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak Lara Alana, 1, dilahirkan, kehidupan pasangan pelakon Awal Ashaari dan Scha Alyahya lebih bermakna. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka. Pendek kata, Lara permata hati dan nyawa mereka.

Jika Aidilfitri tahun lalu Scha masih dalam tempoh berpantang, kehadiran Aidilfitri tahun ini amat dinanti Awal dan dia begitu teruja meraikan lebaran bersama cahaya mata sulungnya itu.

“Untuk saya dan isteri, persiapan kami sederhana sahaja. Cukuplah sepasang dua baju raya. Tahun pertama berkahwin, tumpuan kami lebih kepada melengkapkan rumah. Sekarang alhamdulillah, semuanya sudah lengkap untuk kami sekeluarga.

“Boleh saya katakan, persiapan raya tahun ini hampir sepenuhnya untuk Lara. Raya tahun lalu, Lara masih dalam pantang dan kami sekeluarga tidak beraya. Jadi tahun ini, saya dan isteri mahu Lara raya ‘sakan’. Sebab itu kami berdua teruja buat persiapan raya untuknya,” katanya.

Tidak seperti anak segelintir selebriti lain yang mana baju raya mereka hingga berpuluh pasang, memadai bagi Lara enam pasang saja.

“Tidak perlulah berlebihan. Lagipun budak-budak pada usia ini cepat membesar, silap haribulan tak sempat pakai baju sudah tak muat,” katanya.

Awal juga berkongsi kebanyakan baju Lara dihadiahkan peminatnya.

“Alhamdulillah itu rezeki Lara. Bukan untuk raya saja, sebelum ini pun Lara sering mendapat pelbagai hadiah. Macam-macam orang bagi dari hujung kaki ke hujung rambut.

“Malah pernah beberapa kali ketika kami sedang berjalan-jalan di pusat beli-belah, ada orang datang bagi hadiah. Saya berterima kasih kepada semua dan anggap ia sebagai rezeki anak,” katanya.

Berbanding Scha, menurut Awal dia lebih teruja dalam membuat persiapan raya anaknya.

“Ikutkan Scha, memadai untuk Lara dua pasang baju. Tetapi bagi saya pula, apa salahnya berbelanja setahun sekali untuk anak. Saya nak Lara rasa keseronokan beraya seperti saya masa kecil dulu,” katanya.

Tambah Awal, kehadiran Lara tidak merubah aktiviti raya mereka sekeluarga. Tradisi berkunjung ke rumah sanak saudara tetap diteruskan.

“Sebelum ini, dalam satu hari saya boleh beraya di rumah keluarga saya dan kemudiannya rumah keluarga mentua. Tapi sejak ada anak, memang tidak boleh macam tu lagi.

“Apabila ada anak kena ambil masa sikit. Ini kerana kami perlu bawa segala barang keperluan anak dan agak melecehkan kalau nak pergi sekejap-sekejap setiap rumah,” katanya.

Apa yang dirindukan Awal setiap kali menjelang Aidilfitri ialah persiapan saat akhir bersama kawan.

“Dulu tiap-tiap tahun mesti pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bukan nak beli apapun, tetapi saja nak rasa kemeriahan orang buat persiapan raya. Kadang-kadang sampai 3 pagi saya bersama kawan. Sekarang bila sudah kahwin, tidak adalah aktiviti seperti itu lagi,” katanya.

Bersama Scha pula, kenangan bermain mercun bersama pasti menggamit memori.

“Dulu masa bercinta, setiap kali Aidilfitri, menjadi kemestian saya dan isteri membawa keluarga masing-masing beraya di rumah bakal besan mereka. Tapi kenangan yang paling tidak dapat saya lupa ketika sama-sama main mercun.

“Scha sangat ‘sporting’ dan dia layan saja kerenah saya. Pernah satu ketika, kami dikejar penduduk di sekitar kawasan itu kerana ternganggu dengan bunyi mercun kami. Memang lucu bila ingat balik, tetapi itulah kerja nakal yang kami pernah buat bersama sebelum kahwin dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:00 AM