Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, sebentar tadi, atas tiga pertuduhan menipu seorang lelaki kononnya dapat membantu mendapatkan pinjaman pelajaran dari Kementerian Belia dan Sukan(KBS) membabitkan kerugian RM9,000.

Tertuduh V Vicknes, 38, mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nurul Asyifa Redzuan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menipu G.Segaran, 56, dengan memperdaya sehingga mempercayai yang tertuduh boleh mendapatkan pinjaman pelajaran KBS untuk anaknya sehingga mendorong untuk menyerahkan wang berjumlah RM4,790 dan RM210 di CIMB Ipoh Padang, di antara jam 4.42 petang hingga 4.44 petang, 3 April lalu.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang bernilai RM4,000 di CIMB Mengelembu, kira-kira jam 6.13 petang, 4 April lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, Vicknes didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Nurul Asyifa membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan kes akan disebut semula pada 21 Ogos ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam E P Sittam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 1:24 PM