ASISTEN Superintendan Abd Razak Md Zin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Danial Noordin
ASISTEN Superintendan Abd Razak Md Zin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Danial Noordin
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai pengedar dadah dicekup bersama sejumlah dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM44,000 dalam serbuan di Taman Sejati, Sungai Petani, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 12.10 tengah malam oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua JSJN negeri Asisten Komisioner Abd Razak Md Zin berkata, suspek yang juga penganggur dilihat memberhentikan kereta Volkswagen Passat di kawasan perumahan itu dipercayai sedang menunggu seseorang.

"Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui dadah jenis ganja seberat 10.4 kilogram (kg) di but belakang kereta, selain syabu seberat 214.4 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM44,000.

"Berikutan itu suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini, pagi ini.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain ujian saringan air kencing juga positif dadah.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama seminggu mulai semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita mendapati aktiviti pengedaran dadah jenis ganja menggunakan teknik baru apabila pembungkusan dilakukan dalam saiz lebih kecil dipercayai untuk memudahkan urusan penghantaran.

"Setakat ini kita masih melakukan siasatan lanjut ke atas suspek untuk mengenal pasti kaitan dengan sindiket dadah lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 1:33 PM