Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lapan peniaga di Kelantan yang melakukan kesalahan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa dikompaun maksimum RM200 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 16,499 premis diperiksa KPDNKK dalam tempoh 7 Julai sehingga semalam.

"Lapan peniaga berkenaan adalah peniaga baru yang tak memahami peraturan yang ditetapkan apabila tidak meletakkan tanda harga terhadap barangan kawalan.

"Jumlah itu adalah sedikit dan menunjukkan peniaga di negeri ini semakin faham dengan peraturan di bawah skim berkenaan," katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan harga di Pasar Besar Wakaf Bharu, di sini tadi.

Hadir sama, Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa ditetapkan ke atas 20 barangan seperti sayur-sayuran, ikan dan daging yang dilancarkan pada 7 Julai lalu dan akan berakhir pada 23 Julai ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 301 peniaga dikenakan kompaun yang berjumlah RM34,650 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bermula 1 Jan hingga 15 Julai lalu.

"Kita turut merampas pelbagai barangan bernilai RM47,884," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 3:26 PM