Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan 10 lori selepas didapati melanggar syarat had muatan dalam Op Hippo yang dijalankan Batu 9, Hulu Langat, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu berkenaan membabitkan seramai 32 pegawai dan anggota penguat kuasa SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 4 pagi dan berakhir 9 pagi ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas menerima aduan daripada penduduk kawasan itu mengenai lori membawa muatan pasir dan batu melebihi had keluar masuk tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.

"Bagi kesalahan di bawah peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat 25 kes dicatatkan termasuk membawa secara berbahaya, ubah suai kenderaan, tayar botak dan tidak memiliki lesen memandu.

"Salah sebuah lori yang ditahan pagi tadi membawa muatan sehingga 43,300 kilogram (kg), melebihi had yang dibenarkan iaitu sebanyak 24,000 kg," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, tindakan penguasaha operator kenderaan berat itu disifatkan sebagai tamak pastinya akan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Kes ini akan dibawa ke mahkamah dan pengusaha akan didakwa mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 2:14 PM