PASUKAN bomba penyelamat serta polis berusaha mengeluarkan mangsa dari Proton Saga. FOTO ihsan bomba dan pembaca
KEADAAN Myvi yang remuk separuh. FOTO ihsan bomba dan pembaca
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Enam maut termasuk bayi berusia lima bulan, manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Kampung Bunut Payung, di sini, jam 5 petang tadi.

Kemalangan berkenaan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Pemangku Ketua Polis Machang, Deputi Superintendan Ashraff Ali Kutti berkata, akibat kemalangan itu menyebabkan enam mangsa maut iaitu lima di lokasi kejadian dan seorang di Hospital Kuala Krai.

Katanya, mangsa yang maut dalam Perodua Myvi iaitu Irwan Mohd Zain,33, isterinya, Siti Khadijah Ibrahim, 33, dan dua anak mereka Muhammad Zahran Arfan empat tahun dan bayi berusia lima bulan, Muhammad Zahrin Ariq.

Manakala, mangsa yang maut dalam kereta Proton Saga, Nurul Atikah Abdul Aziz, 19, dan Mohd Zakuan Aiman enam tahun.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 9:31 PM