BENTUK yang unik dan menawan.
RUANG kokpit.
KONSUL tengah penuh dengan pelbagai butang.
ENJIN yang menyalurkan 510 hp.
LAMPU belakang unik.
Oleh Erywan Norshal


Sudah pastinya kehadiran Mercedes-AMG GT membuka satu lagi lembaran baru dalam industri automotif tempatan untuk pasaran kenderaan segmen sport mewah.

Biarpun dalam ‘golongan’ segmen sport mewah, ia menjadi satu produk lengkap apabila dibekalkan prestasi menyamai jentera perlumbaan, selain lebih praktikal dan cekap untuk pemanduan harian.

Jentera yang mempunyai dua tempat duduk itu dicipta dengan bonet hadapan panjang serta roda besar bagi menyalurkan watak menarik.

Rekaan kreatif memberi Mercedes-AMG GT tampak garang dengan jeriji berbentuk berlian tiga dimensi, selain padanan lampu utama LED serta lampu siang berbentuk ‘kening’ mata.

Sebenarnya, enjinnya adalah nadi utama untuk Mercedes-AMG GT apabila ia dibangunkan kilang Mercedes-AMG di Affalterbach, Jerman.

Menariknya, enjin itu menggunakan prinsip ‘one man, one engine’ yang dipasang menggunakan tangan selain rangkaian kuasa itu dilengkapi plat tandatangan oleh jurutera membuatnya.

Rangkaian kuasa itu adalah yang terbaru dan dibangunkan khas untuk Mercedes-AMG GT menggunakan enjin V8 bersesaran 4.0 liter biturbo.

Enjin dengan piawaian Euro 6 itu turut dipadankan sistem ekzos berprestasi AMG untuk memberi keseronokan kepada pemandu.

Mercedes-AMG GT menghasilkan kuasa sehingga 510 PS pada 6,250 rpm dan tork setinggi 650 Nm pada 1,750 sehingga 4,750 rpm.

Kuasanya disalurkan menerusi roda belakang itu menggunakan transmisi tujuh kelajuan klac-berkembar AMG Speedshift dan hanya mencatat 3.8 saat untuk memecut antara 0-100 kilometer sejam (km/j). Ia juga mampu memecut sehingga 310 km/j.

Selain enjin dan transmisi yang berdinamik, jentera terbaru itu dilengkapi mod Race bagi sistem Pemilihan Dinamik AMG, suspensi yang lebih keras dan stereng lebih sensitif.

Ia juga dilengkapi Kawalan Pe­ngendalian Pembolehubah Redaman AMG, dan penguncian elektronik.

Selain model Mercedes-AMG GT S, Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model Mercedes-AMG GT S Edition 1 dengan beberapa ciri tambahan termasuk bumbung gentian karbon, spoiler belakang lebih lebar dan kekemasan hitam pada rim.

Model GT S dan GT S Edition 1 masing-masing dijual pada harga RM1.15 juta dan RM1.2 juta.

INFO

MERCEDES-AMG GT S

- ENJIN: Bersesaran 3,982 cc

- KUASA MAKSIMUM:510 hp pada 6,250 rpm

- TORK MAKSIMSUM:650 Nm antara 1,750 sehingga 4,750 rpm

- TRANSMISI:Tujuh kelajuan AMG Speedshift dengan klac berkembar

- PECUTAN 0-100 KM/J: 3.8 saat

- KELAJUAN MAKSIMUM: 310 km/j

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:03 AM