CITROEN Grand C4 Picasso.
REKA bentuk dinamik dengan saiz badan besar dan bujur.
PERUMAH lampu depan LED yang jelas.
MEJA makanan yang boleh dilipat.
JERIJI depan yang besar sungguh menonjol.
ENJIN diesel turbo DTI 2.0 liter.
PANEL meter yang jelas seperti skrin komputer.

Tanggapan pertama apabila melihat model terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV), Citroen Grand C4 Picasso ialah reka bentuk luaran dan dalamannya yang cukup unik seakan lukisan yang dihasilkan pelukis serta penyair terkenal Pablo Picasso dari Sepanyol.

Mendapat gelaran sebagai sebuah MPV ‘tekno angkasa’, dimensi ruang pemandangannya cukup luas seakan sebuah akuarium besar yang sedang bergerak di atas jalan raya yang direka cukup teliti bagi menampilkan gaya sentuhan kenderaan keluaran Eropah yang memang terkenal dengan gaya tersendiri.

Meskipun bentuk fizikalnya agak besar dan kelihatan bujur sedikit pada posisi hadapan, pada aspek pengendaliannya, MPV ini cukup mengujakan khususnya aspek keselamatan yang dipadankan tidak ada pada mana-mana model kenderaan yang penulis sudah uji sebelum ini.

Satu-satunya ciri yang ada pada MPV ini ialah Sistem Amaran Garisan Jalan (LDWS) yang berfungsi memberi amaran secara automatik kepada pemandu apabila menukar lorong secara tiba-tiba dengan memberi gegaran kepada tali pinggang beberapa kali di bahagian perut. Namun, sistem itu tidak berfungsi sekiranya pemandu memberikan lampu isyarat setiap kali mahu memotong.

Fungsi LDWS banyak dibantu oleh sistem sensor atau kamera yang terletak di atas cermin hadapan dengan memberikan maklum balas berdasarkan kepada garisan jalan raya dan pergerakan semasa kenderaan.

Ketika sengaja menguji sistem itu, mendapati tali pinggang penulis bergetar beberapa kali setiap kali menukar lorong tanpa memberikan sebarang lampu isyarat malah penulis terkejut apabila tali pinggang itu tiba-tiba menjerut secara kuat apabila MPV itu dipandu secara agresif seolah-olah bertindak sebagai satu amaran terakhir.

Sebenarnya, LDWS diperkenalkan sebagai langkah keselamatan dan amaran awal bagi menyedarkan pemandu supaya tidak mengantuk dan fokus kepada pemanduan.

Tidak cukup dengan sistem LDWS, Citroen Grand C4 Picasso ini turut dibantu dengan Sistem Pemantauan Titik Buta (BSMS) yang terletak di cermin sisi yang akan menyalakan amaran lampu berwarna merah apabila kenderaan berada di sebelah kanan atau kiri bertujuan membantu pemandu menukar lorong dengan selamat.

Sebagai sebuah MPV tujuh tempat duduk yang serba mewah dengan kerusi saduran kulit dua tona membabitkan susunan 2+3+2, bahagian penumpang belakang cukup selesa kerana setiap satu barisan boleh dilaraskan penghawa dinginnya.

Malah kerusi hadapannya boleh digerakkan secara elektronik dan didatangkan dengan fungsi mengurut manakala kerusi penumpang hadapan pula boleh dilunjurkan bahagian kakinya seolah-olah seperti kerusi malas.

Menggunakan enjin diesel suntikan terus turbo (DTI) 2.0 liter dengan transmisi enam kelajuan automatik, memandu model ini adalah satu keseronokan kerana setiap kali pedal minyak ditekan, MPV itu akan terus meluncur laju apatah lagi penggunaan minyak diesel memberikan kelebihan kepada jarak perjalanan sesebuah kenderaan.

Dengan tangki penuh 55 liter, kenderaan itu hanya menggunakan 5.4 liter diesel bagi setiap 100 kilometer bagi perjalanan dalam bandar manakala 4.2 liter bagi luar bandar sekali gus menyumbang kepada lebih 600 km bagi tangki penuh yang cukup untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pergi dan balik.

Banyak yang boleh diulas pada MPV ini namun secara keseluruhannya memandu kenderaan buatan Perancis ini memberikan satu pengalaman baru dan mengimbas kembali kenangan penulis yang pernah memandu uji model MPV Citroen Evasion yang pernah popular satu ketika dahulu.

Reka bentuknya segar dan unik dengan lampu nyalaan siang (DRL) diletak di bahagian atas lampu utama dengan bampar yang lebih besar manakala penghadang cahaya yang boleh dilaras untuk pencahayaan dalaman yang lebih maksimum memberikan satu kelebihan untuk pemanduan malam, tetapi satu kekurangan untuk sebelah siang.

Ini ditambah dengan bumbung panaromik yang boleh ditutup dengan ‘langsir’ untuk memberi lebih banyak kemasukan ultra violet (UV) dan dengan iklim yang panas akan memaksa enjin lebih bekerja keras bagi memaksimumkan hawa dingin untuk menyejukkan ruang dalaman yang besar.

Reka bentuk belakang pula dihiasi lampu belakang berbentuk C tiga dimensi dan penggunaan rim aloi 18 inci lima bilah melengkapkan ciri sporty model ini.

Tidak ketinggalan ruang dalamannya cukup kemas khususnya paparan meter 12 inci yang seakan sebuah skrin komputer yang boleh ditukar dalam tiga mod pilihan skrin dan sebuah skrin kecil ditengah-tengah papan pemuka yang bertindak sebagai skrin sesentuh.

Sterengnya juga agak besar dengan kemudahan butang pemanduan yang boleh mengawal radio, auto cruise dan sebagainya tetapi yang paling unik ialah tombol gear yang kecil dan sedikit panjang terletak di atas stereng sebelah kanan.

Cuma kedudukan tombol gear itu seakan tidak sesuai kerana tangan penulis kadang kala terlajak sehingga terkena kepada suis penggelap cermin di sebelah kanan.

INFO

CITROEN GRAND C4 PICASSO

- ENJIN: 1,997 cc, empat silinder dengan diesel suntikan terus turbo (DTI)

- KUASA MAKSIMUM: 150 Ps pada 4,000 rpm

- TORK MAKSIMUM: 370 Nm pada 2,000 rpm

- KELAJUAN MAKSIMUM: 207 km/j

- TRANSMISI: Automatik enam kelajuan

- CIRI KESELAMATAN: Beg udara, ABS, DSC, EBD dan BA

- HARGA: RM189,888 atas jalan, termasuk insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:03 AM