KEHADIRAN Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, sudah memadai untuk Rita bergembira.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Selama empat tahun menyambut lebaran tanpa insan bergelar suami sedikit pun tidak mematahkan semangat aktres popular, Rita Rudaini, 39, meraikannya dengan penuh kemeriahan.

Dengan adanya dua putera kesayangan Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, sudah memadai untuknya bergembira. Istilah rindu beraya dengan suami tidak lagi wujud dalam kamus hidupnya.

Paling penting bagi Rita dapat beraya dengan anak dan keluarga tercinta di Arau, Perlis.

“Hari raya atau hari biasa, saya tidak pernah rasa sunyi. Ketika masih berkahwin dulu pun tiada apa yang istimewa. Jadi, ada suami atau tidak, situasi dan suasananya sama saja.

“Apabila ada anak, hati saya lebih terisi dengan mereka. Saya bukan jenis tak boleh hidup tanpa lelaki. Malah, jauh sekali pentingkan diri dan disebabkan itulah sampai sekarang saya belum terfikir untuk berkahwin lagi,” katanya yang pulang ke Arau empat hari sebelum Aidilfitri lalu.

Rita berkata, pada hari raya pertama Jumaat lalu sambutannya meriah apabila semua sepupu dan saudara-mara terdekat berkumpul sekali.

Rita juga enggan membazir bagi menyambut Aidilfitri tahun ini. Atas sebab itu dia hanya menyediakan dua pasang baju untuk dirinya manakala anak dibelikan jubah saja.

“Pengertian Syawal bagi saya lebih kepada kesederhanaan dan bukannya nak menunjuk lebih daripada orang lain,” katanya.

Tak pernah bosan balik kampung

Saban tahun menyambut lebaran di desa sedikit pun tidak membosankan. Apatah lagi kata Rita, dapat merasa air tangan ibunya, itu sudah cukup membahagiakan.

“Hubungan saya dengan saudara-mara sangat rapat. Sebab itu, saya tak bosan balik kampung. Selain masakan ibu, saya dapat merasa masakan saudara lain.

“Apabila berkumpul, kami berkongsi perkembangan terkini terutama perihal anak. Bukan senang jumpa memandangkan masing-masing hidup merantau,” katanya yang bercuti selama dua minggu.

Rita berkata, pada hari raya pertama lalu, rumahnya meriah dengan hidangan wajib seperti nasi tomato, rendang daging, ayam masak merah, kurma daging dan ketupat daun palas.

“Semasa arwah ayah ada, tugas dia memasak ayam masak merah dan kurma daging. Selebihnya, saya dan ibu akan tolong. Tidak ketinggalan kek coklat kegemaran saya.

“Adik-beradik lain sibuk mengemas rumah, menyediakan pinggan mangkuk dan mengisi kuih dalam balang. Semua sudah ada tugas, jadi tak adalah kelam-kabut pada pagi raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 9:59 AM