SCRAMBLER Ducati varian Icon.

Sungai Buloh: Next Bike Sdn Bhd (Next Bike), pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia secara rasminya memperkenalkan empat varian Scrambler Ducati di sini, baru-baru ini.

Naib Presiden Bersekutu 1 Next Bike, Samir Sharman Daud Sharman berkata, empat model dilancarkan itu membabitkan Scrambler Icon, Urban Enduro, Full Throttle dan Classic yang dipasang sepenuhnya di Thailand.

“Bagi fasa pertama, kami mempunyai 50 unit Scrambler Ducati dan jumlah itu hampir habis dijual cuma hanya tinggal beberapa unit lagi.

“Malah, kami yakin bahawa jumlah jualan bagi model ini akan berganda pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Scrambler Ducati.

Hadir sama, Pemilik dan Operator Ducati Welly Sungai Buloh, Ngo Yoke Kwang.

Empat varian yang ditawarkan membabitkan Icon, Urban Enduro, Full Throttle dan Classic dijual pada harga antara RM57,333 sehingga RM64,888 seunit. Semua varian menggunakan enjin L-Twin bersesaran 800cc yang menghasilkan 75 kuasa kuda (hp).

Biarpun tampil dengan imej retro, ia dilengkapi dengan teknologi terkini membabitkan dua saluran sistem antikunci brek (ABS), lampu utama LED dan pengecas USB di bawah tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 5:53 AM