MAJLIS pelancaran Ferarri baru, GTB 488.

Petaling Jaya: Naza Italia, pengimport rasmi model Ferrari di negara ini memperkenalkan model terbaru, Ferrari 488 GTB yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ASEAN menerima model itu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, model itu didatangkan dengan enjin caj turbo berkembar yang dijangka menjadi tanda aras baru dalam sektor kereta sports dan peminat Ferrari di Malaysia.

“Ferrari 488 GTB akan membuka lembaran baru dalam sejarah kereta dengan seni bina terbaru ini sejak pelancaran ikon pertama Ferrari yang menggunakan enjin V8 Belinetta iaitu 308 pada 40 tahun lalu,” katanya pada pelancaran model terbabit, baru-baru ini.

Ferrari 488 GTB yang memiliki kuasa kuda 661 bhp dengan sesaran enjin 3,902 cc itu boleh didapati pada harga asas pengenalan sebanyak RM1.06 juta (tidak termasuk cukai dan pilihan).

Naib Presiden Kanan II Unit Roda 4 Naza World, David Hector Ratnaike berkata, pihaknya masih menunggu jumlah peruntukan untuk pasaran Malaysia memandangkan ia hanya dihasilkan dalam jumlah terhad dan eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 5:53 AM