X
IBU bapa Korea Selatan digesa memuat turun aplikasi pemantauan pada telefon pintar anak masing-masing.
IBU bapa Korea Selatan digesa memuat turun aplikasi pemantauan pada telefon pintar anak masing-masing.
KEMPEN galakkan golongan muda muat turun aplikasi menyekat akses ke laman tidak senonoh.
KEMPEN galakkan golongan muda muat turun aplikasi menyekat akses ke laman tidak senonoh.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Lee Chang-june mungkin berada berbatu jauhnya dari anak lelakinya yang berusia 12 tahun, tetapi dia tahu bila anaknya itu bermain permainan di telefon pintarnya. Dengan hanya menekan aplikasi khas, kini dia boleh melihat aktiviti, melumpuhkan aplikasi tertentu atau mematikan terus te­lefon pintar anaknya.

Pembinaan aplikasi berkenaan yang dipanggil ‘Smart Sheriff’ dibiayai oleh kerajaan Korea Selatan untuk menyekat akses ke laman pornografi dan lain-lain laman yang menjelikkan. Namun perkhidmatan yang ditawarkan lebih daripada itu.

Smart Sheriff dan sekurang-kurangnya 14 lagi aplikasi membolehkan ibu bapa memantau berapa lama anak mereka menggunakan telefon pintar, berapa kerap mereka menggunakan aplikasi tertentu dan laman web yang dilawati. Sesetengahnya menghantar maklumat mengenai lokasi anak kepada ibu apa dan memberikan amaran apabila si anak mencari kata kunci seperti ‘bunuh diri’, ‘hamil, ‘buli’ atau menerima pesanan ringkas yang mengandungi perkataan terbabit.

Di Korea Selatan, aplikasi seperti ini dimuat turun sekurang-kurangnya 480,000 kali. Dan jumlah ini dianggarkan terus meningkat.

Beberapa bulan lalu, Suruhanjaya Komunikasi Korea Selatan mengarahkan syarikat telekom dan ibu bapa untuk memastikan aplikasi pemantauan seperti Smart Sheriff ini dimuat turun apabila memberikan telefon pintar baru kepada anak yang berusia 18 tahun dan ke bawah.

Walaupun telefon pintar yang lama tidak menyokong aplikasi pemantauan ini, namun kebanyakan sekolah menghantar surat kepada ibu bapa untuk menggesa mereka memuat turun perisian pintar berkenaan.

Sebenarnya banyak negara mempunyai perisian atau kaedah untuk menapis kandungan di Internet, tetapi langkah ini jarang dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Jepun contohnya menggubal undang-undang keselamatan siber pada 2009, tetapi tidak seperti di Korea Selatan, ia memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk tidak mematuhinya. Namun, ini bukan bermakna sistem baru di Korea Selatan itu wajib dipatuhi sepenuhnya.

Ini kerana aplikasi pemantauan itu hanya disokong (boleh beroperasi sepenuhnya) pada telefon Android, tetapi tidak pada telefon keluaran Apple Inc. Walaupun ia bagus, namun pakar keselamatan siber dan kumpulan advokasi Internet mendakwa sistem pemantauan itu menceroboh privasi dan kebebasan bersuara. Sesetengah pihak pula berkata ia melahirkan generasi yang lali terhadap pemantauan.

“Ini samalah seperti memasang kamera pemantauan pada telefon bimbit remaja,” kata Kim Kha Yeun, peguam di Open Net Korea, badan tidak berkeuntungan di negara hallyu itu.

“Kalau ia diteruskan, kita akan melahirkan generasi yang sudah biasa diperhatikan,” katanya.

Korea Selatan, antara negara terkaya di Asia, kini berada di persimpangan konflik kerana mempunyai perkhidmatan Internet murah dan berkelajuan tinggi, manakala penggunaan telefon pintar pula sangat meluas.

Kebanyakan rakyat Korea Selatan mempunyai telefon pintar pertama mereka pada usia muda. Lapan daripada 10 penduduk Korea Selatan berumur 18 tahun dan ke bawah mempunyai telefon pintar sendiri, menurut data kerajaan. Pada 2013, dianggarkan 72 peratus murid sekolah rendah memiliki telefon pintar satu lonjakan besar berbanding hanya 20 peratus pada 2011.

Kini Korea Selatan bimbang melihat bagaimana teknologi memberi kesan kepada kehidupan golongan muda. Kerajaan dan kumpulan ibu bapa mula mengadakan pelbagai inisiatif untuk mengehadkan penggunaan gajet itu dan Internet selain tempoh bermain permainan di telefon pintar. Jadi tidak hairanlah jika ramai ibu bapa mengalu-alukan aplikasi yang membolehkan mereka ‘mengintai ke dalam dunia maya’ si anak.

Lee, yang bekerja dalam industri permainan atas talian hampir sedekad lamanya berkata, pemantauan ke atas telefon pintar anaknya membuahkan hasil positif kerana kini mereka sekeluarga lebih banyak berbual. Anaknya hanya diberikan peluang bermain permainan di telefon pintar selama dua jam pada hujung minggu. Jika dia mahu bermain telefon pintarnya pada hari lain, anaknya perlu mendapatkan kebenarannya dan memberitahu sebabnya.

“Apa yang penting sekarang ialah ibu bapa dan anak perlu ada masa untuk berbual selain cuba membina kesepakatan. Anak saya baru berusia 12 tahun, tetapi sudah mahukan privasi. Saya katakan padanya: Kami akan memuat turun aplikasi pemantauan dan saya boleh tahu aplikasi apa yang dia gunakan. Saya melihat pada perubahan positif dalam membantunya mengawal keinginan diri,” katanya.

Pakar undang-undang bagaimanapun berkata, pengawal syarikat telekomunikasi di Korea Selatan membenarkan data peribadi dan sensitif remaja diambil tanpa mendapatkan persetujuan masyarakat atau mengambil kira kesan yang mungkin dihadapi kelak.

“Nampaknya, Korea Selatan memandang rendah pada kemungkinan tindakan undang-undang yang mungkin diambil berikutan langkah ini,” kata Kang Jeong-Soo, pengarah di Institut Persatuan Digital.

Pakar keselamatan siber juga memberi amaran bahawa aplikasi pemantauan berkenaan mungkin disalahgunakan dan dimuat turun tanpa pengetahuan pemilik telefon.

“Ia boleh jadi aplikasi pengintipan rasmi,” kata Ryu Jong-myeong, Ketua Pegawai Eksekutif di SoTIS, syarikat keselamatan siber.

Reaksi remaja khususnya pelajar pula berbeza. Ada pelajar berkata mereka sanggup menunggu sehingga berumur 19 tahun untuk memiliki telefon baru.

“Saya lebih rela tidak beli telefon. Ini pencerobohan pada privasi pelajar dan menindas kebebasan kami,” kata Paik Hyunsuk, 17.

Cho Jaehyun, pelajar senior di sekolah menengah tinggi, terpaksa memuat turun aplikasi pemantauan ketika dia berada di sekolah menengah. Namun katanya, dia bertuah kerana ibu bapanya bersetuju membuang aplikasi berkenaan apabila dia memasuki sekolah menengah tinggi.

“Tidak semestinya kita menggunakan telefon pintar untuk perkara tidak baik. Kini apabila saya bebas menggunakan telefon, saya berminat menghasilkan permainan dalam iPhone,” kata Cho, 17.

Dan bukan semua ibu bapa mengalu-alukan aplikasi pemantauan berkenaan.

Park Choel-hee, yang mempunyai anak berusia 10 tahun berkata, Korea Selatan mengenakan terlalu banyak peraturan dan membuat pilihan tidak masuk akal mengenai isi laman web yang menjelikkan.

“Beberapa pegawai menentukan laman web mana yang dianggap berbahaya dan menutupnya. Mereka merampas hak pengguna Internet. Keadaan di sini tidak jauh berbeza dengan China,” sambungnya.

Park, membelikan anak dara kesayangannya telefon kedua supaya dia tidak perlu mendedahkan maklumat peribadinya kepada syarikat telekomunikasi. Dia mengakui berasa ‘tidak selesa’ apabila memikirkan anaknya terpaksa membesar dalam masyarakat ‘pemerhati’.

“Kalau keadaan ini berterusan, saya bimbang kanak-kanak akan kehilangan keupayaan berfikir untuk diri sendiri,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:55 AM