HAMIDIN
HAMIDIN

Petaling Jaya: Trio Red Giants, Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Afiq Azmi dan Robert Cornthwaite dijangka menerima hukuman berat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan melaporkan diri bersama pasukan Pilihan Malaysia, Ahad lalu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kes itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin sebaik menerima laporan penuh daripada jurulatih kebangsaan Dollah Salleh selepas berakhirnya aksi persahabatan itu.

“Hingga pagi tadi (pagi semalam), mereka masih belum melapor diri kerana difahamkan tidak dilepaskan pengurusan pasukan Selangor bagi menghadapi perlawanan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini.

“Justeru, FAM kini hanya akan menunggu laporan penuh mengenai pengesahan ketidakhadiran tiga pemain Selangor daripada jurulatih selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.

Bagi mengisi tempat mereka, Dollah memanggil tiga pemain baru sebagai pengganti iaitu Christie Jayaseelan (FELDA United), S Kumaahran (Harimau Muda B) dan Vincent Bikana (Terengganu) bagi melengkapkan senarai 20 pemain.

Sebelum ini, menerusi laporan Arena Metro Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) secara terbuka enggan melepaskan pemain mereka bagi menyertai pasukan Pilihan Malaysia atas alasan mahu menjaga prestasi bagi mengharungi jadual padat Liga Malaysia.

Sebagai rekod, pada 2008 Selangor pernah dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dan didenda RM20,000 berikutan empat pemain mereka meninggalkan klinik bola sepak Ian Rush.

Dollah yang ketika itu jurulatih Selangor dikenakan denda RM10,000 selain empat pemain iaitu Safee Sali, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal, masing-masing dikenakan denda RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:02 AM