iPHONE baru lebih baik berbanding model sebelum ini.
iPHONE baru lebih baik berbanding model sebelum ini.
APPLE masih berupaya menarik pengguna beratur berjam-jam untuk memilikinya.
Oleh Afiq Hanif


Peranti popular yang dikeluarkan syarikat dari Cupertino, Apple iaitu iPhone 6 dan 6 Plus secara rasmi boleh didapati di Malaysia tengah malam ini dengan tiga nama besar dalam industri telekomunikasi tanah air melancarkannya iaitu DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), Maxis Berhad (Maxis) dan Celcom Axiata Berhad (Celcom).

Ketiga-tiganya dijangka menawarkan peranti itu secara rasmi serentak pada tengah malam ini (sehingga artikel ini ditulis) dan memasarkannya tepat jam 12.01 tengah malam.

Betul, ia kali ketiga pelancarannya dilakukan serentak dan seperti biasa ribuan peminat iPhone sanggup datang awal dan menunggu sehingga berjam-jam lamanya hanya sekadar untuk menjadi antara yang pertama mendapatkan model baru itu.

Lebih menarik lagi, Apple dijangka turut mengumumkan iPhone 6 boleh dibeli terus secara online daripada Apple Store dan pengguna hanya perlu ke syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan pelan yang bersesuaian.

Bagaimanapun, jika anda mahukan kos pemilikan lebih murah serta cepat untuk iPhone 6 itu digenggam di tangan, cara terbaik membelinya daripada syarikat telekomunikasi berserta dengan pelan tertentu mengikut kemampuan dan keperluan.

Apakah perbezaan pelan yang ditawarkan syarikat telekomunikasi?

Persoalan itu menimbulkan banyak kebimbangan di kalangan pembeli kerana takut terikat dengan kontrak yang sebenarnya bukan mudah untuk difahami daripada ketiga-tiga syarikat telekomunikasi apabila membelinya. Maklumlah, kontraknya pun bukan sebulan dua, tapi sehingga 12 bulan atau 24 bulan.

Dengan tempoh lama itu, pengguna perlu membuat pilihan terbaik dengan memilih syarikat yang bukan saja mampu memberikan perkhidmatan berkualiti, tapi seharusnya juga mampu memberikan nilai lebih baik atau kos lebih rendah dalam jangka masa panjang.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar mungkin kurang bermasalah dengan kualiti perkhidmatan, tapi bagi mereka di luar bandar pula bukan saja kualiti, tapi liputannya perlu utuh.

Seseorang yang membeli telefon pintar seperti iPhone 6 atau 6 Plus sudah tentu tidak hanya menggunakannya untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas/multimedia (SMS/MMS), tapi juga menggunakan perkhidmatan data termasuk capaian Internet, e-mel, laman sosial dan sebagainya.

Itu semua perlu difikirkan sebelum memilih penyedia perkhidmatan terbaik.

[email protected] memperlihatkan perbezaan antara syarikat telekomunikasi (tidak termasuk Celcom) yang bukannya mengenai kualiti perkhidmatan, tapi dari aspek pemilikan dengan membandingkan pakej yang ditawarkan dalam bentuk rujukan mudah.

Kandungan pelan DiGi, Maxis dan Celcom

Tidak semua pelan adalah sama. Walaupun ketiga-tiganya menawarkan penggunaan dalam pakej dalam tempoh pelan mereka untuk jumlah yang tetap, tawaran dan syarat penggunaan boleh berbeza antara satu sama lain.

Perlu diingatkan, iPhone 6 banyak bergantung kepada data untuk pengalaman penuh. Oleh itu, kebanyakan kita sebagai pengguna akan melihat data yang ditawarkan ketika mula-mula membelek brosur syarikat.

Meskipun pengguna boleh memilih pelan data yang sesuai dengan keperluan penggunaan mereka, mungkin perlu me ngetahui jika mempunyai kecenderungan untuk menggunakan kuota data yang disediakan secara bulanan.

Selepas mengkaji brosur dan maklumat laman web masing-masing, didapati DiGi dan Celcom tidak mengenakan bayaran tambahan jika anda melebihi kuota yang ditetapkan, tapi kelajuan pindah turun atau naik anda boleh dikurang­kan kepada kelajuan yang lebih rendah.

Secara teknikalnya, jika kelajuan asal menggunakan rangkaian evolusi jangka panjang (LTE), generasi ketiga (3G) atau Akses Paket Berkelajuan Tinggi (HSPA), selepas mencapai kuota yang ditetapkan itu maka ia akan menurun ke teknologi rang­kaian yang lebih perlahan seperti Kadar Data Dimajukan untuk Evolusi GSM (EDGE).

Sebaliknya, Maxis tidak menetapkan skala mengurangkan kelajuan, tapi memperkenalkan polisi data lebihan yang digunakan akan dikenakan caj tambahan.

Selepas penggunaan data yang penting kepada pengguna iPhone, terdapat aspek lain yang perlu diteliti dan dikaji bagi mendapatkan pelan terbaik seperti jumlah panggilan yang disediakan, jumlah khidmat SMS atau MMS.

SMS masih menjadi kegunaan penting bagi pengguna di Malaysia walaupun terdapat sistem pesanan segera lain menerusi pemasangan aplikasi yang boleh didapati daripada seperti WhatsApp, WeChat, Line dan Telegram untuk iPhone.

Selain itu, anda perlu melihat pelan yang membolehkan anda menggunakan iPhone 6 untuk menghubungi individu yang berlainan rangkaian.

Jika anda jenis individu yang membuat banyak panggilan, pelan Maxis (tidak termasuk Celcom) adalah satu kelebihan besar kerana mereka menawarkan sehingga 333 minit panggilan yang digabungkan ke mana-mana rangkaian mereka.

Jumlah kos?

Ada perbezaan yang besar dalam pakej yang ditawarkan syarikat telekomunikasi jika anda mahu mendapatkan iPhone 6 atau 6 Plus.

Maxis menawarkan kaedah biasa menawarkan iPhone 6 pada harga subsidi manakala DiGi tidak menampakkan perbezaan ketara dari sudut harga.

Untuk kontrak DiGi, ia memberi subsidi RM184 bagi harga telefon jika anda melanggan iDiGi 50 dengan kontrak selama setahun.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar subsidi sebenarnya masuk ke dalam pelan terbabit.

Jika anda sedar, iDiGi 78 ditawarkan pada harga RM78 sebulan (dengan bil auto). Oleh itu, secara ringkasnya, anda membayar kurang untuk telefon, tapi harganya sudah dimasukkan dalam langganan bulanan atau membayar lebih terlebih dulu untuk iPhone 6 atau 6 Plus dengan yuran bulanan yang lebih murah bagi jangka masa panjang.

Bagi iPhone 6 16GB yang ditawarkan Maxis pula, ia boleh didapati de­ngan harga RM659 pada nilai iValue 3 dengan kontrak 24 bulan.

Aspek lain yang perlu dipertimbangkan

Seperti biasa, perbandingan yang dibuat hanya tertakluk kepada harga dan kos pemilikan saja untuk rujukan.

Sebelum menandatangani kontrak pembelian, anda juga perlu mengambil kira aspek lain seperti kualiti liputan rangkaian, prestasi, perkhidmatan pelanggan dan suara yang berbeza pada setiap rangkaian.

Tapi, ia sukar untuk membandingkannya kerana keadaan demografik yang berbeza bergantung pada kawasan. Kos pemilikan yang disenaraikan di atas untuk rujukan semata-mata dan ia berdasarkan andaian bahawa anda tidak membuat panggilan, SMS, MMS dan data lebih daripada yang ditetapkan.

[email protected] mencadangkan pengguna mengkaji bil bulanan untuk mengetahui jumlah sebenar yang digunakan setiap bulan.

Dari situ, anda perlu menganggarkan pelan yang lebih sesuai dan menjangkakan berapa banyak yang anda belanjakan apabila melebihi had yang ditawarkan dalam pelan.

Untuk aspek pembayaran pendahuluan pula, DiGi menetapkannya pada kadar RM50 hingga RM984 manakala untuk Maxis, mereka memerlukan sedikit pembayaran awal yang berbeza-beza bergantung kepada pelan dan pilihan kontrak dari RM150 hingga RM1,500.

[email protected] mendapati perbezaan antara Maxis dan DiGi pula adalah bayaran ansuran pendahuluan ha­nya lima bulan manakala Celcom sepanjang tempoh sebulan saja.

Jika anda mahukan pembelian iPhone 6 tanpa kontrak pula, pilihan terbaik yang ada mungkin melalui rangkaian telekomunikasi U Mobile yang dikeluarkan nanti yang mempunyai pelan menyerupai pascabayar seperti U28, U58 dan U88 dengan pakej suara serta SMS digabungkan dalam satu pelan.

Sama seperti pelan pascabayar, U Mobile tidak mengenakan bayaran bagi penggunaan tambahan, tetapi kelajuan data akan lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:01 AM