HART yakin kehadiran Sterling, Delph di City akan bantu tingkat karier mereka.
HART yakin kehadiran Sterling, Delph di City akan bantu tingkat karier mereka.

Joe Hart memberitahu Raheem Sterling dan Fabian Delph mereka tidak akan menyesal kerana menyertai Manchester City.

Penjaga gol City itu yakin ketibaan dua pemain berkenaan ke Stadium Etihad akan memberi impak hebat kepada England untuk Euro 2016 di Perancis.

Sebaik tiba di Melbourne untuk berdepan perlawanan persahabatan menentang Roma semalam dan Real Madrid Jumaat ini, Hart tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya terhadap persediaan skuad City menjelang kempen baru.

Penyarung jersi nombor satu England itu yakin Roy Hodgson akan berpuas hati seperti mana peminat City apabila Manuel Pellegrini berjaya mendapatkan dua pemain Three Lions.

“England akan beroleh manfaat dengan kehadiran dua pemain itu. Saya melihat mereka sebagai pembelian hebat yang akan memberi faedah buat kami,” kata Hart.

“Namun ia juga akan menguntungkan England apabila pemain me­nyertai pasukan yang berjaya. Jika mereka bermain di tahap tinggi, mudahlah Roy Hodgson memilih mereka.”

Pengkritik mendakwa, City akan penamat karier pemain di England, dilihat daripada kegagalan bekas pemain City Jack Rodwell dan Adam Johnson.

Begitupun selepas membawa masuk tiga pemain England dalam tempoh seminggu termasuk pemain remaja dari Fulham, Patrick Roberts, Hart, 28 menolak karier Delph di England akan menjunam.

Dia menegaskan bekas pemain Villa itu akan kerap diturunkan meskipun berdepan saingan sengit daripada Yaya Toure, Fernando, Fernandino dan Samir Nasri untuk posisi tengah City.

“Saya enggan melenting apabila orang bercakap me­ngenai kelab ini. Banyak yang diperkatakan mengenai City tetapi saya amat gembira di sini dan saya tahu mereka juga begitu,” kata Hart.

“Saya mempunyai ramai rakan dari skuad England dan bermain di sini dan mereka hanya memperkatakan perkara yang baik mengenai kelab ini.

“Orang ramai mempunyai pendapat tersendiri mengenai kelab ini tetapi saya sentiasa katakan hanya yang berada di sini tahu perkara sebenar dan gembira dengan kelab ini secara keseluruhannya.

“Fabian akan selesa di sini. Dia sudah lama bermain. Dia mengalami beberapa kecederaan di Villa namun bangkit dan benar-benar menyerlah dalam tempoh dua tahun ini.

“Khususnya tahun ini, dia begitu menakjubkan. Inilah kali pertama saya berpeluang melihatnya berlatih dan bermain dengan skuad England.

“Saya rasa dia begitu menakjubkan, penuh tenaga dan kesungguhan, hebat. Dia membawa sesuatu kepada pasukan dan seorang yang baik.”

Hart kecewa apabila Delph membuat pusingan U pada awalnya dan memutuskan untuk kekal di Villa.

“Dia menghadapi cabaran tersendiri dengan kehadiran bayi baru. Ia mungkin saat yang sukar dalam kehidupan. Dia berdepan banyak tekanan, cuba melakukan yang terbaik untuk keluarganya.

“Ia menyukarkan tetapi akhirnya dia membuat keputusan tepat. Dia bercakap mengenainya, dia banyak memikirkan mengenai Aston Villa, jadi ia menyukarkannya.

“Dia mempunyai hubungan hebat dengan penyokong di sana tetapi jika dia mahu memperbaiki kariernya dan bermain dalam Liga Juara-Juara, ia keputusan yang terbaik yang dibuatnya.”

Biarpun Hart tidak sabar untuk memulakan kempen musim baru, dia yakin City perlukan lebih ramai muka baru memandangkan pasukan lawan turut memperkuatkan diri.

“Ia sungguh mengecewakan tahun lalu tetapi kami mengakhirinya dengan baik jadi ia boleh diperbaiki. Saya fikir kami perlu membeli beberapa pemain lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:11 AM
Digital NSTP Subscribe