ZARINA bersama tiga jenis biskut yang dihasilkannya.
BAHAN yang digunakan dalam penghasilan biskut laktasi.
KELUARAN terbaru menggunakan alfafa dan kurma sebagai bahan penggalak susu.
IBU berkerjaya perlu mendapatkan makanan berkhasiat untuk memperbanyakkan pengeluaran susu.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Berbanding ibu berkerjaya pada zaman dulu, ibu moden kini semakin tahu dan inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Lalu mereka belajar mengenai penyusuan ibu terutama dari segi teknik, peralatan dan penyimpanan bagi memudahkan mereka meneruskan impian untuk menyusukan bayi selama enam bulan secara eksklusif dan seterusnya sehingga dua tahun.

Dalam menuju impian menyusukan anak secara eksklusif terdapat pelbagai halangan yang menyebabkan susu menjadi kurang. Antaranya tekanan di tempat kerja kerana terlalu banyak tugas yang perlu diselesaikan mengikut waktunya, sedangkan proses mengepam susu juga perlu dilakukan mengikut jadual bagi merangsang penghasilan susu secukupnya.

Tekanan emosi akibat berjauhan dengan si kecil, kurang tidur, penggunaan pil perancangan, cabaran Ramadan serta tidak menjaga pemakanan antara faktor yang boleh menyebabkan penghasilan susu berkurang.

Bagi mengatasi masalah ini kebanyakan wanita mencari pelbagai cara untuk menambah susu antaranya amalan pemakanan tradisional seperti sup kacang merah, air kurma merah dan longan, betik hijau dan lobak putih bagi menambah pengeluaran susu badan.

Ada pula mengambil herba, namun kerana bau yang tidak menyenangkan menyebabkan ia tidak diamalkan secara konsisten manakala pil hormon pula tidak dijamin mampu mengaktifkan pengeluaran susu ibu serta mempunyai kesan sampingan sekiranya dimakan terlalu lama.

Untuk tidak menghadapi masalah sama, Pengasas Mom More Milk (MMM), Zarina Zul Mukhshars mengambil keputusan berhenti kerja semata-mata untuk memberikan yang terbaik kepada cahaya mata pertama Haneefah Ja’far yang kini berusia dua tahun. Untuk itu sebaik saja mengetahui diri mengandung dia mula mencari pelbagai bahan bacaan ilmiah sama ada menerusi Internet, majalah dan buku mengenai pemakanan, kelahiran semula jadi serta persediaan menyusukan bayi.

“Sama seperti ibu dulu yang bersalin tanpa menggunakan sebarang alat bantuan ia sememangnya memudahkan penyusuan badan. Penyusuan bermula sebaik saja anak dilahirkan. Sentuhan kulit ke kulit sebaik saja bayi diletakkan di atas dada ibu menyebabkan pengaliran oksitosin sekali gus badan memberitahu bahawa bayi sudah bersedia menyusu.

“Berbeza sekiranya kelahiran menerusi kaedah pembedahan atau penggunakan epidural yang menyebabkan kesakitan tidak berlaku. Dalam keadaan ini badan tidak menyampaikan maklumat kepada otak yang bayi tidak berada bersama ibu mereka lantas menyebabkan susu lambat keluar atau perlu dirangsang dengan lebih lama,” katanya.

Ramai ibu juga tidak memahami mengenai konsep ‘permintaan dan penawaran’. Apabila ibu menyusukan bayi lebih lama dengan kaedah yang betul ia akan memberitahu kepada otak bahawa bayi memerlukan susu yang banyak sekali gus meningkatkan pengeluaran susu.

Selain itu teknik menyusu juga perlu betul agar penyusuan tidak menjadikan ibu trauma akibat rasa sakit. Penyusuan yang betul juga akan menyebabkan pengeluaran susu meningkat. Pada tahun pertama penyusuan susu ibu akan meningkatkan 60 peratus imunisasi badan si kecil dan pada tahun kedua imunisasi akan meningkat lagi sebanyak 40 peratus.

“Sebab itu anak yang diberikan susu ibu akan lebih ceria, jarang dijangkiti penyakit, lebih cergas dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Ini kerana susu ibu mempunyai semua kebaikan yang diperlukan oleh bayi,” katanya.

Hasil kudapan banyakkan susu ibu

Oleh kerana Zarina tidak mempunyai masalah ketika menyusukan anaknya, dia menjadi bahan rujukan kawan berkerjaya yang ingin mendapatkan ilmu cara menambah susu badan. Apatah lagi pada bulan puasa apabila ramai mengadu susu menjadi kurang, mudah letih dan tidak dapat mengepam secara konsisten.

Bermula dari situ dia mula tercari-cari makanan sesuai yang mampu diberikan kepada rakan agar pengeluaran susu badan mereka meningkat. Menerusi pembacaan blog luar negara dia mendapati wanita di sana mengamalkan biskut laktasi yang dapat memperbanyakkan susu badan.

“Dari situ saya mula menghasilkan biskut laktasi mengikut adunan resipi dan disesuaikan dengan bahan laktogenik (penambah susu) yang selalu digunakan oleh ibu di serata dunia terutama di Barat seperti bijirin, flaxseed organik, germa gandum, alfalfa termasuk halba dan kurma yang kemudiannya diadun dengan coklat halal bermutu tinggi bagi memberikan rasa enak dan sesuai dijadikan hidangan harian,” katanya.

Selepas memberikan biskut pertama yang dihasilkan iaitu Oats & Hershey’s Chocalate Chips kepada rakan rapat, ramai memberikan maklum balas positif sehingga mendorongnya menjual hasil tangannya itu menerusi dalam talian. Tidak hanya dengan satu produk lantas Zarina menjalankan kajian mengenai manfaat alfalfa, halba dan kurma yang sering digunakan wanita pada zaman dulu secara mentah untuk menambah pengeluaran susu ibu.

“Saya juga berjumpa dengan pakar homeopati untuk bertanyakan mengenai kebaikan halba dan alfalfa. Mereka memberikan maklumat yang sama iaitu boleh memperbanyakkan susu ibu menerusi kandungan oksitosin iaitu horman yang hanya dihasilkan dalam tiga situasi iaitu ketika hubungan seksual, melahirkan serta menyusukan anak.

“Hormon inilah yang merapatkan hubungan anak dan ibu. Kurma pula mengandungi sejenis bahan menyamai hormon oksitosin yang membantu memperbanyakkan susu ibu,” katanya.

Namun cabarannya adalah untuk mengurangkan rasa alfalfa seperti rumpai dan halba yang pahit menjadi makanan enak yang mampu dimakan oleh semua. Berkali-kali Zarina menggunakan bancuhan tepung untuk mendapatkan rasa yang diinginkan sehinggalah hadir Cranberry & White Chocolate Chips Lactation Cookies dan Super Pumping Lactation Brownies.

Untuk mendapatkan rasa yang enak, ketiga-tiga jenis biskut dibakar secara perlahan. Selain oat, biskut laktasi ini diperkaya dengan

bijirin organik mempunyai kandungan Omega-3 yang tinggi dan penting untuk perkembangan otak yang boleh disalurkan daripada ibu kepada anak melalui susu badan.

Biskut laktasi ini juga mempunyai germa gandum yang tinggi khasiat zink untuk membantu menyembuhkan puting susu yang merekah selain boleh membantu mengurangkan tekanan selepas melahirkan anak.

Jelas Zarina, ramai wanita salah faham mengenai biskut laktasi kerana beranggapan biskut ini menggunakan susu ibu. Sebenarnya tidak, biskut atau kudapan yang dihasilkan MMM ini menggunakan bahan semula jadi sebagai penggalak pengeluaran susu ibu.

Jadi dengan kandungan nutrisi yang tinggi ia bukan saja membantu ibu mendapatkan susu dengan banyak tetapi pada masa sama menjadikan si kecil lebih sihat.

Sesuai untuk ibu menyusu pada Ramadan kerana bahan yang digunakan memberikan rasa kenyang berpanjangan selain memperbanyakkan susu badan.

Biskut yang mula dipasarkan secara meluas di Singapura, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu berkerjaya. Untuk itu Zarina berharap dapat mendidik lebih ramai ibu di Malaysia mengenai biskut laktasi. Produk MMM kini boleh didapati di Marissa Shoppe (Shah Alam), Faliyana Mom Store (Gombak), Butik Tateh (Bangi), Mama Kids Juntion (Taman Puncak Jalil) dan Mommy’s Basic (Sungai Buluh). Bagi mereka yang berminat boleh melayari laman web MMM di http://www.mommoremilk.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 9:49 AM