Maribor, Slovenia: Chelsea terus berdepan jadual padat ketika mengintai peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan aksi menentang Maribor di gelanggang lawan, awal pagi esok.

Anak buah Jose Mourinho yang berkunjung ke Slovenia bagi pertembungan Kumpulan G itu menyedari tiga mata sudah mencukupi buat mereka mara jika Sporting gagal menundukkan Schalke 04 dalam satu lagi perlawanan.

Blues pasti yakin memenuhi impian itu memandangkan mereka membelasah lawan sama 6-0 di Stamford Bridge dua minggu lalu.

Namun halangan tunggal yang mungkin dihadapi pendahulu Liga Perdana itu adalah keletihan dengan perlawanan itu yang keempat buat mereka dalam tempoh 11 hari dan hadir sebelum kunjungan ke Anfield berdepan Liverpool, Sabtu ini.

Tanda-tanda keletihan berikutan jadual padat itu terserlah ketika menang 2-1 ke atas QPR Sabtu lalu apabila tendangan penalti Eden Hazard pada minit ke-75 menjadi penentu tiga mata.

“Minggu ini amat pelik,” jelas Mourinho. “Kami bermain menentang Manchester United pada Ahad, kemudian Selasa bertemu Shrewsbury Town pada Piala Liga.

“Beberapa pemain mendapat rehat dua hari. Sesetengahnya perlu ke Shrewsbury selepas perlawanan dengan United dan ada yang beraksi 90 minit di sana. Kemudian beberapa pemain rehat hari berikutnya, namun ia hari bekerja seperti biasa buat pemain lain.

“Ia minggu yang amat pelik dan sukar memberikan tumpuan.”

Mourinho mengharapkan sokongan kuat peminat setia Chelsea di Slovenia selepas pengendali Portugal itu mengkritik kurangnya suasana bingit di Stamford Bridge pada aksi menentang QPR.

Chelsea akan tampil tanpa penyerang Loic Remy yang cedera pangkal paha pada perlawanan menentang Maribor sebelum ini, namun John Obi Mikel mungkin boleh diturunkan selepas terlepas aksi hujung minggu lalu kerana kecederaan lutut.

Mourinho juga perlu membuat keputusan sama ada menurunkan Diego Costa yang kembali daripada kecederaan menentang anak buah Harry Redknapp dengan penyerang veteran Didier Drogba ternyata menjadi pengganti terbaik menerusi tiga gol dalam empat perlawanan terakhir Chelsea.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:02 AM