AFP

Melbourne: Pengurus Manuel Pellegrini menyatakan pemain termahal Raheem Sterling akan mendapat faedah bermain di samping pemain teknikal dalam skuad Manchester City bagi musim baru Liga Perdana Inggeris.

Sterling memberikan bayangan apa yang boleh disumbangkannya kepada juara EPL 2014 itu dengan kepantasan menakjubkan selain kerjasama erat dengan bintang Sepanyol, David Silva ketika menang menerusi penentuan penalti ke atas kelab Itali, AS Roma di Melbourne, kelmarin.

Sterling, pemain Inggeris paling mahal dalam sejarah, hanya mengambil masa dua minit 17 saat untuk mencetak gol sulung buat kelab Inggeris berbelanja besar itu pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Melbourne Cricket Ground.

Ia perlawanan pertama pemain London kelahiran Jamaica berusia 20 tahun itu buat Manchester City sejak berpindah dari Liverpool minggu lalu menerusi kontrak lima tahun dengan yuran awal £44 juta (RM261 juta) dan mungkin akan meningkat kepada £49 juta (RM290 juta).

Sterling hanya beraksi pada babak pertama namun berjaya mempamerkan kepada Pellegrini betapa dia pembelian berbaloi dalam skuad serba bintang apabila musim baru bermula bulan depan.

“Penting menjaringkan gol terutama pada babak awal perlawanan dan dia hanya beraksi 45 minit selepas beberapa hari berlatih dengan pasukan,” kata Pellegrini.

“Saya gembira dengan cara dia bermain. Dia mempamerkan kenapa dia di sini, bukan setakat nilainya sebagai pemain, dia seorang pemain yang amat muda jadi saya fikir dia akan meningkat pada masa depan bermain di samping Yaya Toure, David Silva dan Sergio Aguero.

“Saya amat gembira dengannya dan terlalu gembira kami membelinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:19 AM