PROTON WAJA dinaiki mangsa terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta. FOTO ihsan PDRM
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Teluk Intan: Seorang suri rumah maut selepas kereta jenis Proton Waja dipandu suaminya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 9.5 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam itu, mangsa, Siti Jemaah Samirin, 42, maut ditempat kejadian selepas parah dibahagian kepala manakala suaminya Abd Mutalib Aziz, 49, dan anaknya, Siti Fatimah Azzahrah, 19, parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berpunca daripada kereta jenis Proton Saga yang dipercayai memotong Proton Saga BLM sebelum bertembung dengan kereta mangsa dari arah bertentangan dan terbabas melanggar Proton Saga BLM.

Menurutnya, pemandu Proton Saga, S Devenranraj, 21, turut parah manakala pemandu Proton Saga BLM tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 9:14 AM