Skip this ad x

Tokyo: Zoo di Jepun merancang mengadakan pameran bagi memperbaiki imej satu daripada serangga yang paling dibenci di dunia - lipas.

Pameran di Zoo Shunanshi Tokuyama di Yamaguchi bertujuan mengubah persepsi orang ramai terhadap lipas.

Dengan sejumlah 4,000 spesies di seluruh planet, lipas adalah serangga yang tahan lasak dan mampu hidup hampir di mana sahaja terutama tempat kotor.

Jurucakap zoo berkata: “Walaupun lipas memiliki imej buruk, ia sebenarnya mempunyai peranan penting dalam rantaian makanan kerana memakan sisa bangkai dan tumbuhan yang rosak.”

Pengunjung boleh menyaksikan acara kemuncak pameran itu, iaitu lumba lipas.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh cuba menyentuh Madagascar Hissing Cockroach, antara spesies terbesar lipas yang boleh membesar sehingga 7 sentimeter.

Bagaimanapun, pengunjung tidak perlu bimbang kerana ia tidak boleh terbang, sebaliknya mengeluarkan bunyi desiran.

Pameran itu mempunyai 200 serangga daripada 15 spesies yang dipamerkan. Jumlah pengunjung yang datang meningkat kepada 70 hingga 80 peratus sekali gus membuktikan populariti serangga berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:21 AM