SENAPANG serumbu panjang menggunakan tembaga asli di bahagian butang letupan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Johor pertama.
LUKISAN yang memaparkan penggunaan senjata sebagai simbol kekuasaan dan penaklukan.
PISTOL penuras bersadur emas.
PELANCONG asing turut tertarik untuk menyaksikan pameran.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Peradaban Islam terkenal di serata dunia melalui pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, seni bina dan intelektual. Nama-nama seperti Ibnu Qaiyim, Al-Tabary, Ibnu Sina dan Ibnu Nafis dikenali serata dunia malah buku serta kajian mereka menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

Begitu juga ketika memperluaskan jajahan negara Islam serta memerangi golongan murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW, lahirlah pembuatan peralatan perang seperti senjata dan perisai.

Masyarakat hari ini masih berpeluang menelusuri era kekuasaan dan keagungan peradaban Islam melalui pameran Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam Malaysia yang menghimpunkan koleksi senjata dan perisai terbaik meliputi Afrika Utara sehing­ga ke rantau Asia Teng­gara.

“Kita banyak membaca buku mendakwa negara Barat pelopor kepada pemba­ngunan dan kemajuan dunia, namun hakikatnya masyarakat Islam sudah lama menemui kaedah yang diguna pakai kini.

“Senjata dan perisai adalah satu bentuk seni terulung dan terindah pernah dihasilkan dalam peradaban Islam dalam pelbagai bentuk dan fungsi seperti pisau belati, pedang dan senjata api.

“Pada zaman dulu, senjata dan perisai berfungsi sebagai pelindung sewaktu di medan pertempuran selain menjadi lambang status sosial seseorang.

“Selain digunakan dalam majlis istiadat dan keramaian, senjata dan perisai dipersembahkan sebagai hadiah diplomatik selain digunakan bangsawan kerana percaya ia boleh memberi kuasa mistik kepada pemiliknya,” kata Pembantu Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) Zulkifli Ishak.

Katanya, seni hiasan pada senjata dan perisai mencerminkan kemahiran yang unggul dalam teknik pe­ngikatan batu permata, seni kaligrafi bertatah emas dan perak serta tahap pembuatan tertinggi dalam seni logam.

Kerja tangan mewah dan halus pembuat senjata serta perisai dipertontonkan agar pengunjung mampu menghayati keindahan dan sentuhan seni pada artifak terbabit.

Bermula de­ngan koleksi replika pedang Nabi Muhammad SAW dan sahabat seperti Khalifah Uthman Al-Affan dan Khalid Al-Walid, pameran ini mengete­ngahkan rupa bentuk senjata berbilah dalam sejarah awal Islam.

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab dikait­kan dengan pedang jenis panjang dan lurus, mempunyai bilah lebar serta mata pedang di kedua-dua sisi bilah.

Dhul-faqar, Al-Ma’thur, Al-Battar dan Al-’Adb antara pedang yang dikaitkan de­ngan Rasulullah dan mempunyai hubung kait dengan masyarakat di selatan Arab yang terkenal dengan pembuatan bilah pedang bermutu.

Sekitar 1400 Masihi, pedang berbentuk lebar mula pupus digantikan dengan pedang melengkung dan bermata satu. Ia mempunyai kelebihan khususnya dalam pertempuran berkuda dan diguna secara meluas sewaktu empayar Uthmaniyah dan Parsi.

Dari selatan India, kita mengenali Tipu Sultan yang memerintah Kerajaan Mysore dari 1750 hingga 1799 Masihi.

Tipu Sultan terbabit dalam empat siri peperangan Anglo-Mysore menentang British, namun terkorban pada peperangan keempat. Reka bentuk senjatanya bermotifkan kepala harimau dan bubri (belang harimau).

Penonton pasti tertarik melihat senjata penuras milik Tipu Sultan iaitu sejenis senapang berlaras pendek, bermuncung kembang dan mempunyai tanda tangan membentuk muka harimau dengan perkataan Asadullah Al-Ghalib (Singa Allah).

Sultan Uthmaniyyah pula terkenal dengan ‘tughra’ iaitu tanda tangan rasmi Sultan Uthmaniyah dalam bentuk monogram kaligrafi. Reka bentuknya mengandungi nama serta pangkat dan adakalanya tertera tahun pemerintahannya.

Justeru, penonton boleh membezakan ‘tughra’ dipakai Sultan Osman III (1754 - 1757 Masihi) dengan keunikan ‘tughra’ pada senapang kunci ‘miquelet’ milik Sultan Mahmud II (1808 - 1839 Masihi).

Ukiran salasilah keturunan diraja pada bilah pedang dianggap unik apabila penonton boleh menyaksikannya pada pedang sultan terakhir Darfur di Sudan iaitu Sultan ‘Ali Dinar (1856 - 1916 Masihi) selain ukiran syahadah ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah’ dalam jata yang diukir timbul.

Dunia Islam juga tidak lari daripada menggunakan busur dan anak panah untuk meraih kemenangan dalam peperangan. Busur turut mengalami transformasi apabila ketika awalnya ia berat, mudah patah dan tiada jarak panahan yang jauh.

Kemudian lahir­nya busur campuran yang dihasil­kan di Turki dan Asia Tengah, daripada kayu, tanduk binatang dan urat sebagai pelekat. Ia sesuai digunakan ketika menunggang kuda.

Selain senjata dan perisai besi, haiwan seperti kuda mempunyai pertalian rapat kerana memberi impak terhadap pembentukan ketamadunan Islam dengan caranya tersendiri.

Semangatnya, ketahanan, kepantasan, kebijaksanaan dan kesetiaannya membentuk hubungan rapat dengan manusia.

Maharaja Akbar daripada dinasti Mughal memiliki kuda baka terbaik untuk memastikan kemenangan ketika berperang. Pisau belati dengan hulu berukiran kepala binatang seperti kuda sangat digemari di kalangan kerabat diraja Mughal.

Pada masa yang sama, hubungan istimewa antara pahlawan dan kuda diabadikan dalam lukisan miniatur dan tercatat dalam penulisan dunia Islam.

Dalam epik Pahlawan Kazakh, Targhyn me­nyanyikan lagu perpisahan terhadap kudanya bernama Tarlan di saat kematian haiwan itu.

Melewati zaman, senjata api mula diperkenalkan di dunia Islam melalui konflik bersenjata dan hubungan perdagangan dengan wilayah lain seperti China, India dan Eropah.

Empayar Uthmaniyah memainkan peranan penting dalam penghasilan senjata api serta menyebarkan di segenap dunia Islam sekali gus mengubah pendekatan peperangan dunia Islam ketika era senjata api.

Ia turut menyingkap mengenai keris perak Sultan Abdul Jalil yang menyimpan kisah keturunan Kesultanan Melaka-Johor dan seterusnya kepada permulaan era pemerintahan bendahara di bahagian Dunia Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 3:28 PM