Oleh Safuri Kamarudin


Baling: Seorang lelaki Orang Asli yang didakwa keluar mencari kulat senduk dan kura-kura sebagai sumber rezeki didapati hilang di Hutan Simpan Kayu Api, Kampung Telok Pendiat, di sini, sejak petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Jali Din, 35, dari Perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong dikatakan keluar mencari kulat di hutan berkenaan bersama lima rakannya yang lain kira-kira 2 petang.

Difahamkan, Jali keluar rumah kira-kira 7 pagi sebelum bertemu dengan rakan lain di luar kawasan hutan terbabit tetapi dia didakwa melarikan diri ke dalam hutan secara tiba-tiba dan gagal dikesan lalu kejadian dilaporkan kepada pasukan penyelamat.

Kakak ipar mangsa, Besah Ismail, 37, berkata, mereka baru berbincang untuk bergerak ke hutan itu tiba-tiba Jali terus berlari dan tidak sempat dihalang.

"Kami baru berkumpul dan berbincang arah mana mahu masuk ke dalam hutan, tetapi tiba-tiba dia berlari tanpa sempat kami menghalangnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, usaha mencari mangsa dilakukan membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Orang Asli yang berpengalaman di dalam hutan dan penduduk kampung.

Menurutnya, usaha mencari masih diteruskan sejak pagi tadi kerana bimbang mangsa boleh memasuki Hutan Simpan Gunung Inas dan bergerak ke Pengkalan Hulu, Perak.

"Setakat ini mangsa belum ditemui dan usaha mencari membabitkan dua kumpulan ke hutan itu sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 3:35 PM