utama

Banjir Johor ragut mangsa pertama

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Seorang wanita di Kampung Contoh, Kahang menjadi mangsa pertama banjir di Johor, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, Halijah Majid, 59, ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika cuba keluar untuk ke pusat penempatan sementara (PPS).

Katanya, ketika kejadian sembilan anggota bomba sedang melakukan operasi menyelamatkan mangsa banjir di kampung berkenaan.

"Pada jam 12.39 tengah hari, pasukan penyelamat dimaklumkan kejadian seorang wanita terjatuh ke dalam longkang di hadapan rumahnya.

"Anggota terus digerakkan ke lokasi sebelum mendapati mangsa terjatuh ke dalam longkang sedalam 2.1 meter," katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Akob, mangsa terlebih dahulu ditemukan orang awam kira-kira 10 minit selepas kejadian dilaporkan yang turut sama melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

"Anggota penyelamat cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita berkaitan:

  • Empat PPS dibuka di Kluang
  • 435 mangsa banjir di Kampung Contoh dipindahkan
  • Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 5:21pm
    d