SENGAJA perlahankan kerjaya tahun ini.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Sejak kebelakangan ini, pelakon jelita Intan Ladyana jarang kelihatan di kaca TV mahupun acara hiburan.

Kali terakhir namanya diperkatakan sewaktu berita perpisahannya dengan bekas kekasih juga pelakon Kamal Adli.

Apapun, pelakon Jika Itu Takdirku itu bukannya menjauh hati demi melupakan kisah lama.

Menurutnya, dia sengaja mengambil masa untuk berehat tahun ini sekali gus menolak pelbagai tawaran.

“Saya memang nekad berehat saja tahun ini dan memperlahankan kerjaya. Sebenarnya banyak juga tawaran yang datang namun saya sengaja menolaknya disebabkan mahu beri masa untuk diri sendiri.

“Apapun, saya bukanlah ‘menghilangkan’ diri terus kerana masih ada lagi drama lakonan saya seperti Quddus yang kini ditayangkan di RTM.

“Lebih 10 tahun dalam bidang ini, kini saya lebih selektif dalam setiap tawaran. Bukan mahu ‘demand’, tapi pelbagai watak sudah saya jayakan dan semestinya mahukan angin baru,” katanya.

Terlanjur bercerita mengenai watak, Intan teringin melakonkan watak adiwira atau apa saja watak lasak.

“Tidak semestinya yang mempunyai kuasa saja, watak seperti askar wanita pun antara impian saya.

“Apapun, secara dasarnya konsep saya sentiasa mengikut kesesuaian watak itu sendiri juga. Kalau memang bagus dan dan sesuai untuk diri, saya pasti pertimbangkannya.

“Saya juga mendapat tawaran menarik baru-baru ini, namun masih dalam perbincangan,” katanya.

Mahu kembangkan perniagaan jus buah

Selain memperlahankan kariernya tahun ini, Intan juga nampaknya semakin sibuk menguruskan perniagaan jus minuman kesihatan Leto Krush yang diusahakannya sejak awal tahun ini.

Menurut Intan, ia semakin mendapat sambutan dan dia mempunyai perancangan mengembangkan perniagaan terbabit.

“Saya akan membuka beberapa kios terlebih dulu dalam masa terdekat ini di sekitar Lembah Klang. Selepas itu mungkin barulah membuka cawangan lain di luar Kuala Lumpur pula,” katanya.

Dalam pada itu, Intan yang juga duta produk kecantikan sempat meluangkan masa beramah-mesra dengan anak yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Terharu dan gembira terus diberi kepercayaan menjadi duta produk itu, Intan sentiasa mengutamakan komitmennya bersama produk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:01 AM