BONY dibelenggu kecederaan buku lali dan lutut.
Agensi

London: Penyerang Manchester City, Wilfried Bony dijangka cergas menjelang permulaan musim baru.

Bony tidak bersama rakan skuad utama bagi jelajah pramusim ke Australia dan Vietnam kerana tidak sihat.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu kini sudah sembuh, namun kekal di Manchester bagi meneruskan proses pemulihan kecergasan bersendirian di Akademi Bola Sepak City.

“Saya tidak sihat, tapi kini sudah OK. Saya berasa lebih sihat berbanding minggu lalu, jadi saya amat gembira mengenainya.

“Pada awalnya ia menyukarkan. Ada banyak perbincangan dengan jurulatih dan doktor, namun mereka kata lebih baik saya kekal di sini tanpa perlu melalui penerbangan hampir 24 jam.

“Saya agak kecewa, tapi bukannya saya nak sakit. Saya perlu menanganinya. Kini saya OK, saya amat gembira dan berlatih.

“Saya fikir semuanya sudah selesai jadi saya hanya menanti untuk bertindak baik pada musim baru ini,” kata Bony.

Bony menyertai City dari Swansea dengan harga £28 juta (RM165 juta) Januari lalu, namun masih belum melakukan impak besar bersama kelab itu.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak beraksi selama sebulan kerana terbabit dengan Piala Negara Afrika dan kemudian cedera buku lali dan lutut sebelum kempen berakhir dan sekadar menyumbat dua gol untuk City.

Dia kini berharap melupakan semua itu dan bertindak hebat pada musim 2015-16.

“Sebelum hujung musim saya hadir dari Afrika untuk menyertai pasukan baru. Anda perlu mengubah banyak perkara dan anda perlu berlatih serta bersedia bagi perlawanan, jadi ia tidak mudah.

“Saya boleh katakan ada saat manis dan ada saat buruk, tapi lebih penting memikirkan apa yang akan ditempuhi selepas ini. Saya perlu cergas dan cuba melakukan yang terbaik bagi musim baru.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:04 AM