Melaka: Pemburuan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro, Brazil menjadi faktor tarikan utama apabila 17 negara sudah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia 2015 (ACC MTB 2015) yang bakal berlangsung 12-16 Ogos ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, penyertaan itu adalah yang terbesar dalam sejarah ACC MTB sejak beberapa tahun lalu.

Sehingga kini, lebih 220 pelumba dan pegawai dari Krygyzstan, Filipina, Jepun, Iran, Singapura, Indonesia, Vietnam, Lebanon, China, Hong Kong, Kazakhstan, Korea Selatan, Mongolia, Nepal, Taiwan dan Thailand sudah mengesahkan penyertaan masing-masing.

“Saya jangkakan jumlah penyertaan akan meningkat kerana angka itu tidak termasuk pelumba dan pegawai dari Malaysia. Malah masih ada beberapa negara lain seperti Turkmenistan dan negara Arab menunjukkan minat mendalam untuk turut serta,” katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, hakikat yang menunjukkan juara dan naib juara akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 mendorong banyak negara memutuskan mengambil bahagian pada ACC MTB 2015.

“Iran menghantar 37 delegasi termasuk 31 pelumba ke Melaka. Ini membuktikan mereka sangat serius untuk menyapu bersih slot tiket ke Rio. Sebelum ini, pelumba Iran meraih tiket automatik ke Rio menerusi acara lebuh raya.

“Jepun dan Korea Selatan menghantar 35 pelumba manakala Indonesia muncul negara Asia Tenggara paling ramai menghantar pelumba dan pegawai,” katanya.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) turut mendedahkan betapa Thailand muncul negara terawal membayar deposit penyertaan sebanyak 50 peratus kepada MNCF sekali gus membuktikan mereka sangat mempercayai kualiti penganjuran kali ini.

Ditanya mengenai kemampuan pelumba Malaysia untuk muncul juara beliau berkata, pelumba seperti Mohd Fauzan Ahmad Lufti dan Nurul Suhada Zainal mampu melakukan kejutan selepas memperaga persembahan mantap di World Police and Fire Games 2015 di Washington DC, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sehubungan itu, Abu Samah menjelaskan MNCF dengan kerjasama Persatuan Lumba Basikal Pahang (PLBP) akan menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Bukit Kebangsaan 2015 di Teluk Chempedak, Pahang pada 31 Julai hingga 2 Ogos ini.

“Kita akan jadikan kejohanan ini sebagai medan pemilihan pelumba ke ACC MTB 2015. Saya harap Fauzan dan Suhada akan menyertai sesi pemilihan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:05 AM