mutakhir

Mangsa banjir di Pahang meningkat, 19,527 orang di PPS

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Seramai 19,527 mangsa daripada 5,198 keluarga kini ditempatkan di 247 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini, pagi hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 8.30 pagi hari ini berbanding 18,535 orang membabitkan 4,917 keluarga di 235 PPS, petang semalam.

Sebanyak 46 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Lipis (40), Raub (38), Maran (38), Jerantut (36), Kuantan (20), Pekan (13), Bera (sembilan) dan Rompin (tujuh).

Maran mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 4,501 orang daripada 1,241 keluarga, diikuti Temerloh (3,383 orang daripada 901 keluarga), Lipis (2,551 orang daripada 675 keluarga) dan Kuantan (2,522 orang daripada 678 keluarga).

Raub pula merekodkan 2,402 orang mangsa daripada 644 keluarga, Jerantut (2,316 orang daripada 570 keluarga), Bera (1,092 orang daripada 410 keluarga), Rompin (1,012 orang daripada 264 keluarga) dan Pekan (430 orang daripada 116 keluarga).

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan lapan sungai di Pahang melepasi paras berbahaya sehingga 8 pagi hari ini .

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut dan Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh.

Selain itu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai di Lubuk Pasu, Temerloh, Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan di beberapa daerah di Pahang.

Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang sehingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 9:36am
d