GELAGAT peserta ketika pelepasan.
GELAGAT peserta ketika pelepasan.
PETUGAS menghulurkan minuman dan buah kepada peserta.
PETUGAS menghulurkan minuman dan buah kepada peserta.
AKSI sepanjang laluan.
AKSI sepanjang laluan.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Edisi kelapan Kayuhan Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2015 meriah apabila menarik 1,300 peserta dalam dan luar negara.

Kayuhan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini sebahagian kempen memperkenalkan penggunaan teknologi mesra alam di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak. Turut tersenarai dalam kalendar aktiviti melawat negeri Perak, kayuhan berkenaan merangkumi laluan di lokasi menarik sekitar Perak yang bukan saja terkenal dengan keunikan dan kecantikan alam, juga sejarah tersendiri.

Antara laluan yang ditempuhi ialah kawasan daerah Manjung dan Perak Tengah, merentasi kawasan Ayer Tawar, Beruas, Layang-Layang Kiri dan Bota Kiri.

Pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di pekarangan stesen janakuasa itu.

Selain penyertaan individu acara kayuhan jambori ini turut menarik pembabitan ahli keluarga peserta supaya sama-sama berkayuh sepanjang laluan sebagai cara memberi sokongan selain memeriahkan lagi acara tahunan itu.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung Sdn Bhd, Shamsul Ahmad berkata, program kali kelapan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah diktirafkan sebagai aktiviti tahunan perlancongan negeri Perak.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan sebahagian daripada galakan aktiviti riadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat di samping melakukan kerja amal menerusi program Tanggungjawab Sosial Koporat TNB Janamanjung dengan memberikan sumbangan wang tunai kepada tiga sekolah yang terbabit dengan program itu.

Kata Shamsul, pemilihan Sekolah Kebangsaan Dendang, Beruas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri dan SMK Ambrose, Ayer Tawar berdasarkan lokasi di luar bandar serta kerjasama pihak sekolah berkenaan membenarkan kawasan sekolah dijadikan hentian peserta.

“Acara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak diperkenalkan pada 2008, dan tahun ini membabitkan peserta daripada Bulgaria, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura.

“Ia sebagai aktiviti tahunan negeri Perak dan secara tidak langsung membantu menjana ekonomi daerah Manjung dengan kehadiran peserta yang menyertai program ini,” katanya.

Peserta paling tua, Abdul Razak Zainuddin, 72, berkata, berbasikal adalah aktiviti popular masa kini yang sesuai disertai pelbagai peringkat usia.

Dia yang menyertai JMFR buat kali kedua, tidak menganggap faktor usia sebagai halangan sebaliknya menyertai kayuhan berkenaan kerana percaya kekuatan fizikal dan mental memainkan peranan penting dalam aktiviti kayuhan itu.

“Seminggu tiga kali walaupun hanya sejam saya akan berbasikal atau melakukan aktiviti lain bagi mengekalkan stamina badan supaya sentiasa kekal cergas biarpun sudah menjangkau usia.

“Daripada hanya melepak di kedai kopi dan bersembang kosong, lebih baik masa itu diisikan dengan aktiviti seumpama ini kerana ia bagus untuk kesihatan tubuh badan kita,” katanya yang berjaya mengayuh hingga ke garisan penamat.

Syed Ahmad Shakirin Syed Ghazli, 45, peserta dari pasukan Enchal, Gombak, Selangor pula berkata, kayuhan ini sebagai menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan yang melancarkan program Malaysia Cergas (Fit Malaysia) di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

“Program seumpama ini dapat menambahkan kenalan dan meluaskan pengetahuan mengenai basikal kerana kami di sini berkongsi minat yang sama.

“Saya akan membawa keluarga bersama jika mereka mempunyai kelapangan, biarpun tidak menyertai kayuhan mereka hadir sebagai penyemarak semangat untuk menamatkan kayuhan,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi peserta remaja Alif Shauqeen Nor Muhammad, 15, program sedemikan bagus untuk perkembangan sosial diri dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Katanya, remaja sebayanya lebih suka menghabiskan masa hujung minggu dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah dan daripada membuang masa, lebih baik melakukan aktiviti sedemikian bagi menonjolkan bakat sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:01 AM