Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka memperuntukkan sejumlah RM250 bilion bagi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang kukuh, sekali gus menyokong pencapaian negara maju menjelang 2020.

Kandungan RMK-11 kini sedang disiapkan dan dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada Mei 2015 dan peruntukan itu juga masih belum dimuktamadkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, berikutan itu kerajaan akan memperkenalkan pedekatan baru bagi meningkatkan perkembangan struktur ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Kebangsaan Malaysia (MyNDS).

Beliau berkata, MyNDS akan memfokuskan kepada projek berimpak tinggi menggunakan sumber optimum serta kos yang rendah secara menyeluruh dan efisyen.

“MyNDS adalah pendekatan baru dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara secara berterusan selepas selesai kita memuktamadkan Rancangan Malaysia ke-10 yang menunjukkan prestasi positif secara keseluruhan.

“Pendekatan itu membabitkan indeks bagi mengukur keutamaan sesebuah projek yang penting sama ada dalam kalangan negeri atau sektor,” katanya dalam ucaptama sempena Makan Malam Persidangan Ekonomi Asia (AES) ke-9 di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Marina dan Ketua Pegawai Eksekutif Istitut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Michael Yeoh.

Dalam ucaptama itu, Wahid turut meminta peserta persidangan terdiri daripada perniagaan terus mengutamakan misi nasional, mencipta peluang serta menolak rasuah dalam operasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:07 AM