AFP

London: Usain Bolt menegaskan dia masih raja pecut sebaik kembali daripada kecederaan dengan catatan 9.87s berturut-turut dalam acara 100 meter pada kejohanan Liga Berlian London, awal pagi semalam.

Ditanya sama ada aksi cemerlangnya ketika saringan dan final di trek Stadium Olimpik yang basah akibat hujan membuktikan dia masih pelari nombor satu dunia, pelari berusia 28 tahun dari Jamaica itu berkata dengan yakin: “Saya tidak pernah menduduki tangga kedua.”

“Saya masih nombor satu,” kata Bolt, juara Olimpik dan pemegang rekod dunia.

“Saya akan terus menjadi nombor satu hingga saya bersara, itulah perancangannya.”

Berdasarkan catatan 100m yang dilakukannya pada 2015, Bolt kini berada di kedudukan keenam.

Justin Gatlin, pelari Amerika Syarikat yang menjalani penggantungan dua kali akibat dadah, mendahului senarai dengan 9.74s dan juga mencatat 9.75s dua kali serta 9.78s.

Bolt bagaimanapun masih mempunyai ruang untuk diperbaiki sebelum mempertahankan gelaran 100m dan 200m pada Kejohanan Dunia di Beijing bermula 22 Ogos ini, di litar Sarang Burung yang menyaksikan dia memenangi tiga pingat emas pertama Olimpik (100m, 200m and 4x100m) pada 2008.

Pelari Jamaica itu memenangi setiap acara 100m dan 200m yang disertai sepanjang tujuh tahun lalu, kecuali 100m pada Kejohanan Dunia 2011 di Korea Selatan apabila lariannya dibatalkan.

Ia satu era dominasi acara pecut yang tidak mampu ditandingi dalam sejarah acara trek dan padang dan biarpun terlepas aksi kompetitif selama enam minggu selepas Liga Berlian New York akibat kecederaan pelvis, Bolt masih mampu mencabar untuk memenangi emas sekali lagi.

Pelepasan yang tidak memuaskan ketika saringan dan aksi kurang meyakinkan ketika final menunjukkan dia masih mempunyai ruang untuk dibaiki dalam tempoh empat minggu lagi, apatah lagi berlari di trek yang dibasahi hujan serta angin kuat dalam kedua-dua acara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM
Digital NSTP Subscribe