AFP

London: Arsene Wenger (gambar) menolak dakwaan pengarah Arsenal, Lord Harris bahawa Gunners mampu membeli mana-mana pemain di dunia.

Selepas beberapa tahun mengambil sikap berhati-hati dalam pasaran perpindahan pemain bagi menampung kos perpindahan ke Stadium Emirates, Harris dilaporkan sebagai berkata, Arsenal mempunyai lebihan £200 juta (RM1.18 bilion) yang boleh digunakan Wenger untuk merombak skuadnya.

Harris mendakwa hanya pemain Barcelona, Lionel Messi dan bintang Real Madrid, Ronaldo yang tidak mampu dibeli Arsenal dan dia menyokong Wenger memecahkan rekod pembelian kelab iaitu £42.5 juta (RM251 juta) ketika membeli Mesut Ozil dari Real Madrid pada 2013.

Namun pengurus Arsenal, Wenger yang setakat ini baru membeli penjaga gol Chelsea, Petr Cech pada harga £11 juta (RM65 juta) berkata, komen Harris agak keterlaluan.

“Beliau agak keterlaluan. Ia tidak benar,” kata Wenger.

“Lawan kami, jika mereka mahu, memiliki wang untuk dibelanjakan. Jadi ia bukan sesuatu yang luar biasa dan duit di dalam bank bukan bermakna keuntungan. Kami kehilangan wang dalam tempoh enam bulan terakhir.

“Anda boleh jadi muflis dan mempunyai £200 juta di dalam bank. Jika anda mempunyai £500 juta (RM2.95 bilion) untuk dibelanjakan tiga minggu kemudian, anda perlu mencari £300 juta (RM1.77 bilion).

“Kedudukan kewangan kami kukuh, saya tidak mahu membincangkannya lebih lanjut.”

Wenger dikaitkan dengan beberapa pemain ternama sejak akhir musim lalu dengan penyerang Real Madrid, Karim Benzema dan penyerang Juventus, Fernando Llorente antara yang berada dalam senarainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM