LEE (kiri) menunjukkan borang peraduan bersama produk barangan NTPM.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Nibong Tebal: Pengeluar produk kertas tisu, Nibong Tebal Paper Mill Holding Berhad (NTPM) berhasrat menjadi pengeluar dan pengedar pelbagai rangkaian produk konsumer bertaraf dunia dengan memperluaskan pasarannya di rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Kumpulan, Lee See Jin berkata, perniagaannya kini diperluaskan ke Singapura dan Thailand, rangkaian NTPM di luar negara yang terbabit dalam menghasil dan mengimport semua jenis produk kertas serta kertas tisu.

“Objektif syarikat berusaha memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan produk berkualiti tinggi berasaskan teknologi hijau dan mesra alam berpandukan prinsip kitar semula.

“Kami akan terus menambah baik proses pembuatan bagi menjamin produk dihasilkan terus kekal menerajui pasaran tempatan dan luar negara daripada segi konsistensi, keselesaan dan kualiti,” katanya pada sidang media Peraduan Sambutan Ulang Tahun ke - 40 NTPM di sini.

Beliau berkata, syarikatnya juga mengeksport operasi pembuatannya ke luar negara dengan menubuhkan kilang pembuatan di Vietnam.

“Kami berjaya menjadi satu penyumbang utama dalam industri khusus bagi sektor Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) dengan pangkalan pelanggan dan jaringan penyebaran yang meluas,” katanya.

Dalam pada itu, NTPM akan menjalankan kempen di seluruh negara bagi meraikan Ulang Tahun ke-40 sejak diasaskan Lee See Jin pada 1975 bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2015.

Objektif kempen untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia menyokong NTPM sejak 40 tahun lalu dengan menawarkan hadiah hebat kepada pemenang yang bernilai RM800,000.

Hadiah utama sebuah kereta Toyota Camry Hybrid.

Untuk hadiah bulanan, sebanyak satu pemenang akan dipilih setiap bulan bermula Ogos hingga Disember yang menawarkan hadiah Baucar Pelancongan RM15,000 dan wang tunai RM5,000, 20 pemenang akan menerima sebuah iPhone 6 dan 50 pemenang juga akan menerima hadiah RM1,000.

Bagi menyertai peraduan ini, pelanggan hanya perlu membeli produk barangan NTPM berharga RM20 ke atas dalam satu resit, lengkapkan borang peraduan dengan menjawab dua soalan mudah dan disertakan resit sebagai bukti pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:22 AM