PENYERANG Kelantan, Erwin Carillo (kanan) melakukan percubaan ke pintu gol Sime Darby.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Biarpun sekadar seri 2-2, pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menentang pasukan tercorot Liga Super, Sime Darby FC malam kelmarin.

Hajatnya untuk memperoleh tiga mata tidak kesampaian, tetapi Zahasmi tetap yakin semua pemainnya bakal menebus kekecewaan itu dalam baki perlawanan seterusnya.

Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun baru mengambil alih tugas daripada Mohd Azraai Khor Abdullah, beliau gembira melihat persembahan pemain termasuk import yang dilihat semakin meningkat.

Katanya, semua pemain dilihat memiliki semangat juang tinggi serta sentiasa berazam untuk mengembalikan semula maruah bola sepak Kelantan setanding dengan pasukan lain.

“Disebabkan ramai pemain seperti Austin Amutu, Mohd Khairul Izuan (Rosli) dan Ahmad Fakri Saarani masih cedera selain penggantungan Mohd Fitri Omar, merencatkan sedikit perlawanan (malam kelmarin).

“Namun, saya yakin Kelantan bakal bangkit menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selasa ini dalam usaha memburu tiga mata penuh serta keluar daripada zon bahaya,” katanya.

Dalam perlawanan saingan Liga Super menentang Sime Darby di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin, Kelantan berjaya memperoleh gol melalui jaringan Amridzwan Taj Tajuddin pada minit ke-5 dan Gilmar Da Silva (minit 72).

Manakala pasukan pelawat pula menghasilkan gol melalui dua pemain import mereka, Nemanja Durakovic pada minit ke-24 dan Reinaldo Da Costa (minit 50).

Dengan keputusan seri itu, Kelantan kini menghuni tangga kesembilan liga menerusi 15 mata manakala Sime Darby kekal tercorot dengan lima mata.

Sementara itu, jurulatih Sime Darby Ismail Zakaria pula berkata, beliau agak terkilan kerana hasrat mereka untuk mencari kemenangan sulung gagal sekalipun sudah memberi tentangan sengit.

Katanya, semua pemain berjaya menterjemahkan segala yang dirancang dengan baik namun nasib masih tidak menyebelahi mereka.

“Walaupun peluang untuk keluar dari zon penyingkiran agak tipis, tapi kami sesekali tidak akan mengangkat ‘bendera putih’ atau menyerah kalah dengan mudah.

“Kami berjanji akan bangkit dalam perlawanan seterusnya termasuk berusaha memberi tentangan sengit terhadap pasukan gergasi Liga Super,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 8:21 AM