Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Tiga lelaki termasuk dua beradik yang terbabit dengan insiden pergaduhan antara dua kumpulan remaja di pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, Isnin lalu, masing-masing dipenjara sebulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan remaja berusia 15 tahun.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Afandi Jalaudin, 29, dan adiknya Noor Azuan, 21, serta Muhammad Fairus Estman Mat Rani, 21, apabila mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman mereka berjalan dari tarikh tangkap, iaitu 20 Julai lalu dan menjalani hukuman penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 6.50 petang di pejabat sekuriti di pusat beli-belah berkenaan.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau keduanya-duanya, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:46 PM