SEBAHAGIAN penghuni Baitul Mahabbah yang diraikan kakitangan dan sukarelawan Hotel Grand Lexis, Port Dickson.
SEBAHAGIAN penghuni Baitul Mahabbah yang diraikan kakitangan dan sukarelawan Hotel Grand Lexis, Port Dickson.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Ketika tangan yang menerima berasa terharu dan gembira, tangan yang memberi turut bahagia.

Seperti apa yang dilihat ketika majlis berbuka puasa yang dikendalikan Hotel Grand Lexis, Port Dickson, bersama kanak-kanak Pusat Jagaan Baitul Mahabbah, Seremban, ketika Ramadan lalu, tiada lebih menggembirakan bagi kanak-kanak terbabit apabila diberi perhatian seperti insan lain.

Sumbangan kebajikan tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit dan material, namun lazimnya dua perkara ini banyak membantu mencetuskan rasa gembira bagi golongan yang memerlukannya.

Keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal selesa menjadi keutamaan untuk golongan dewasa, tetapi perhatian yang diberikan ketika bermain dan berkomunikasi lebih menjadi tarikan bagi si kecil.

Ditambah pula dengan keadaan si kecil ini yang jauh daripada ibu bapa, malah ada yang kehilangan keluarga, perhatian yang diberikan oleh kakitangan Grand Lexis sedikit sebanyak membantu me­ngubat lara di hati mereka.

Menurut pengurus pusat jagaan terbabit, Noraini Yaa­kob, kemunculan Ramadan membuatkan kanak-kanak ini lebih sayu dan sedih berikutan tidak berpeluang berbuka puasa bersama keluarga.

“Sebahagian kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik yang dihantar menginap di Baitul Mahabbah sementara sebahagian lagi dalam kalangan anak yatim.

“Jadi dapat dilihat kesedihan mereka setiap kali Ramadan terutama ketika berbuka puasa. Justeru apabila ada pihak korporat dan sukarelawan yang tampil meraikan majlis berbuka puasa dengan kanak-kanak ini, ia dapat mengurangkan kerinduan mereka pada keluarga.

“Selain dapat menikmati pelbagai hidangan menarik yang jarang mereka peroleh, kanak-kanak ini berpeluang keluar dari kawasan pusat jagaan bagi bercampur gaul dengan komuniti setempat,” katanya.

Ditambah dengan persembahan menarik daripada pe­nyanyi popular, Nora, kanak-kanak ini tidak ketinggalan menerima duit raya daripada pengurusan Grand Lexis.

“Bagi setiap keluarga, musim perayaan seperti ini masa untuk bergembira dan menghabiskan masa bersama.

“Kanak-kanak dan golongan dewasa turut sama seronok meraikannya tanpa perlu memikirkan tekanan serta tugasan harian.

“Tetapi tidak semua yang bernasib baik dan ada segelintir daripada kita langsung tidak merayakannya.

“Disebabkan itulah, kami berusaha memberikan sedikit kegembiraan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik ini dengan meraikan mereka menerusi aktiviti amal seperti ini.

“Kami harap dengan cara ini dapat mendedahkan mereka dengan aktiviti kema­syarakatan, sekali gus menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka,” ujar Penolong Pengurus Eksekutif Grand Lexis Peter Mascrinas.

Pertubuhan Baitul Mahabbah adalah sebuah pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan pada 11 Januari 2011 bagi menaungi serta membela kebajikan juga pendidikan kepada anak-anak yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas, golongan istimewa, di samping golongan yang layak menerima zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:01 AM