ABDUL Kadir (kanan) dan Pazil (kiri) menunjukkan orang utan yang diseludup masuk.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Tawaran istimewa membeli ‘bayi’ orang utan pada harga RM20,000 seekor melalui laman sosial Facebook (FB).

Aktiviti itu dilakukan seorang suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dikesan menyeludup masuk spesies hidupan liar dilindungi itu dari Medan, Indonesia.

Suspek diyakini bersekongkol dengan dua lelaki negara jiran itu untuk menyeludup anak orang utan itu dipercayai menggunakan bot ke negara ini.

Lebih menyedihkan apabila dua ekor anak orang utan itu disumbat suspek di dalam beg pakaian bagi membolehkan haiwan itu dibawa masuk tanpa disedari.

Kegiatan penyeludupan itu bagaimanapun ditumpaskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas suspek utama diberkas bersama tiga lagi lelaki di sebuah hotel di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, pada jam 8.30 malam, Jumaat lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:28 AM