PEMAIN Mexico menjulang Piala Emas CONCACAF.
AFP

Philadelphia: Mexico menghasilkan dua gol kontroversi untuk mengatasi Jamaica 3-1 pada aksi final Piala Emas, semalam sekali gus mengumpul gelaran ketujuh dan memadam tanggapan negara itu semakin kehilangan bakat bola sepak.

Kapten Mexico Andres Guardado meledak jaringan pada minit ke-31 dan Jesus Corona menambah kelebihan pada minit ke-47 sambil Oribe Peralta mengesahkan kejuaraan pada minit ke-61 gara-gara kesilapan mudah Michael Hector yang merosakkan impian Jamaica bergelar juara di kejohanan dwi tahunan benua Amerika Utara itu.

“Kami sangat gembira,” kata pengurus Mexico Miguel Herrera. “Kami menguasai perlawanan. Kami bermain dengan rentak yang kami mahukan. Kami sangat puas hati dengan aksi ini.”

Jamaica yang beroleh gol saguhati hasil jaringan pemain gantian Darren Mattocks di minit ke-79, menamatkan kejohanan selaku naib juara selepas muncul pasukan Caribbean pertama melangkah ke final Piala Emas hasil kemenangan 2-1 ke atas Amerika Syarikat di separuh akhir. Pencapaian terbaik skuad ‘Reggae Boyz’ sebelum ini ialah menduduki tempat ketiga pada 1993.

“Bagi saya, ini bukanlah pingat perak. Ia adalah emas,” kata pengurus Jamaica Winfried Schaefer. “Tidak ada sesiapa memberikan kami harapan. Kami mengharungi semua perlawanan bermati-matian. Saya berbangga melatih pasukan ini, Jamaica patut bangga dengan pasukan kami.”

Guardado yang dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bola Emas, menjadi pemain pertama menjaringkan gol sepanjang tiga aksi final Piala Emas. Dia yang mewakili negaranya sebanyak 10 kali dalam Piala Emas, turut menjaringkan gol ketika pasukannya tewas di tangan Amerika Syarikat pada 2007 dan ketika menang edisi 2011 ke atas musuh serupa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:35 AM