Reuters

London: Manchester United mengesahkan bahawa mereka sudah berjaya mendapatkan khidmat penjaga gol Argentina Sergio Romero menerusi kontrak selama tiga tahun sekali gus menemukan semula pemain itu dengan pengurus Louis van Gaal.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah beraksi di bawah bimbingan Van Gaal di kelab Belanda AZ Alkmaar dan dia menyertai United sebagai ejen bebas selepas meninggalkan Sampdoria.

“Bermain di salah sebuah kelab terbesar dunia adalah satu penghormatan buat saya,” katanya kepada laman web rasmi United.

“Louis van Gaal adalah pengurus yang hebat dan saya tidak sabar untuk bermain di bawah bimbingannya sekali lagi.”

Romero yang turut diberikan pilihan setahun pada kontraknya, menyertai United ketika aksi pramusim di Amerika Syarikat di mana mereka menewaskan Barcelona 3-1.

“Sergio adalah seorang penjaga gol berbakat. Dia masih muda ketika saya mengendalikan AZ Alkmaar dan saya sangat gembira dia menyertai kami di Manchester United,” kata Van Gaal.

Romero dan pengurusnya pernah bertemu di Piala Dunia tahun lalu di mana Argentina menyingkirkan Belanda di penentuan penalti separuh akhir.

“Dia mempamer aksi cemerlang di Piala Dunia tahun lalu walaupun ia sesuatu yang tidak mahu saya ingat lagi. Kehadirannya bakal menjadi aset berharga buat pasukan dan saya juga tidak sabar bekerjasama dengannya sekali lagi,” kata Van Gaal.

Kehadiran Romero dijangka menjadi penanda kepada perpindahan penjaga gol kedua United, Victor Valdes yang diketepikan sepanjang jelajah ke Amerika Syarikat dan dikatakan berbalah dengan Van Gaal.

Van Gaal berkata, Valdes enggan bermain untuk skuad simpanan United tetapi dakwaan itu dinafikan penjaga gol Sepanyol berkenaan.

Spekulasi turut membabitkan penjaga gol utama United David De Gea yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:38 AM