Sudah 31 tahun aktor Anupam Kher, 60,berada di Bollywood dan sepanjang tempoh itu dia melalui jatuh bangun dalam kerjayanya. Malah katanya, di sebalik kegembiraannya meraikan kejayaan dalam kebanyakan lakonannya dia juga amat menghargai kegagalan yang bertandang dalam hidupnya.

“Kegagalan adalah pelajaran yang paling berguna untuk menebus kesilapan. Setiap kegagalan menjadi kuasa yang paling besar untuk mengejar kejayaan. Sebab itu saya tidak kecewa apabila gagal kerana saya boleh tahu di mana kekurangan dan kelebihan kemampuan saya.

Terkini Anupam akan melakonkan watak utama sebagai Sushant Singh Rajput iaitu bapa kepada pelari terkenal India, Pan Singh. Dia yang sebelum ini terbabit dalam filem Om Jai Jagadish (2002) dijangka sekali lagi menunjukkan lakonan cemerlang dalam filem terbarunya ini.

Perkembangan lain, aktor itu kini sibuk mengendalikan program TV berjudul The Anupam Kher Show - Kucch Bhi Ho Sakta Hai. Program itu memaparkan selebriti jemputan berkongsi pengalaman perjalanan kerjaya mereka dan halangan yang ditempuh sebelum berjaya.

“Saya yakin program itu menyentuh hati penonton kerana cerita artis itu tidak jauh bezanya dengan kisah sebenar dalam masyarakat kerana setiap kejayaan yang dikecapi pasti ada cabaran yang menanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 9:07 AM