Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Subang Jaya: Kementerian Kewangan mengumumkan lanjutan tarikh akhir penghantaran penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 03 bagi tempoh cukai bermula 1 April hingga 30 Jun 2015 kepada 14 Ogos ini daripada tarikh asal iaitu 31 Julai 2015.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong berkata, langkah terbabit dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan syarikat terbabit di mana majoriti adalah syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) mencatatkan nilai jualan dibawah RM500 juta setahun dan melakukan penghantaran kali pertama.

"Selepas melakukan perbincangan dengan Jabatan Kastam DiRaja dan melihat maklum balas daripada sambutan Hari Pelanggan Kastam maka kita melihat keperluan untuk melanjutkan tarikh penghantaran ini," kataya pada majlis pelancaran Anugerah Pengiktirafan PKS 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua jenis penghantaran penyata GST iaitu secara bulanan bagi syarikat yang memiliki nilai jualan melebihi RM500 juta setahun dan secara suku tahunan bagi syarikat yang memiliki nilai jualan di bawah RM500 juta setahun.

"Kita berharap syarikat terbabit dapat menghantar penyata secepat mungkin memandangkan terdapat lanjutan masa untuk memudahkan mereka menghantar penyata GST 03 buat kali pertama berbanding syarikat yang melakukan penghantaran secara bulanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 6:51 PM