New York: Seramai 35 wanita termasuk supermodel Janice Dickinson dan Beverley Johnson, yang mendakwa menjadi mangsa seksual pelawak Bill Cosby dipaparkan pada muka depan majalah New York terbaru.

Bintang The Cosby Show itu berdepan kritikan sejak beberapa bulan ini selepas puluhan wanita menceritakan pengalaman gangguan seksual dan rogol didakwa dilakukan Cosby beberapa dekad lalu.

Terbaru, gambar hitam putih dipaparkan muka depan majalah itu yang bertajuk ‘Cosby: The Women, An Unwelcome Sisterhood’ - menunjukkan mereka duduk memandang tepat pada kamera.

Setiap wanita mempunyai potret tambahan dan artikel menceritakan kisah mereka serta pandangan mengenai skandal itu.

Beberapa jam selepas muka depan itu dipaparkan di laman webnya, portal itu tidak dapat diakses yang pada mulanya disangkakan kerana jumlah orang yang mahu melihatnya.

Namun, seorang penggodam menggunakan gelaran ThreatHack kemudian mengaku bertanggungjawab bukan kerana menyokong Cosby sebaliknya disebabkan bencikan New York. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:37 AM