PANDALELA (kiri) dan Mun Yee hambar.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hasrat untuk mengulangi pencapaian di Kejohanan Akuatik Dunia 2013 Barcelona dengan membawa pulang pingat gangsa tidak kesampaian apabila pasangan penerjun negara Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Pandelela dan Mun Yee yang beraksi di Kazan Russia awal pagi semalam dalam acara 10m platform seirama wanita gagal mengekalkan rentak cemerlang pada saingan kelayakan berlangsung di Aquatic Palace yang menyaksikan juara Olimpik dari China Chen Roulin-Liu Huixia gah menguasai saingan dengan merangkul emas.

Pasangan berpengalaman negara itu bermula dengan baik ketika dua terjunan awal dan melonjak ke kedudukan ketiga selepas menamatkan terjunan ketiga.

Namun, kesalahan dilakukan Mun Yee pada terjunan keempat menyebabkan mereka tergelincir ke tempat ketujuh dari 12 peserta bertanding selepas sekadar mendapat 51.84 mata.

Bagaimanapun, Pandelela Rinong-Mun Yee kembali memperbaiki prestasi pada terjunan terakhir dengan mendapat 77.76 mata namun gagal mengubah kedudukan keseluruhan dan mengumpul 303.60 mata, ketinggalan 55.92 mata di belakang Chen Roulin-Liu Huixia.

Chen Roulin-Liu Huixia memperoleh 359.52 mata untuk merangkul emas yang juga keempat berturut-turut mereka dalam acara 10m platform seirama di Kejohanan Dunia dan kelima buat Chen Roulin di pertandingan sama.

“Kami sangat gembira dan ini persembahan terbaik kami dalam tempoh dua tahun. Anda perlu melakukan yang terbaik dalam latihan setiap hari dan tidak perlu terlalu memikirkan mengenai hasilnya,” kata Roulin.

Penerjun Korea Utara Kim Un-hyang dan Song Nam-hyang melakarkan sejarah tersendiri apabila menamatkan kemarau pingat di Kejohanan Dunia selepas merangkul pingat pertama untuk negara itu dalam tempoh 42 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:09 AM